KUALA LUMPUR 9 Julai – PRG Holdings Bhd sekali lagi menjadi perhatian apabila sekumpulan pemegang saham yang memiliki lebih 10% kepentingan dalam syarikat itu menggesa supaya Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) diadakan bagi menyingkirkan Pengarah Urusan Kumpulan, Andrew Chan Lim-Fai dan merombak barisan lembaga pengarah.
Tindakan itu diterajui pemegang saham kedua terbesar syarikat, Datuk Sheah Kok Fah yang memiliki 8.14% kepentingan, bersama tiga lagi pemegang saham iaitu Sy Dioceldo Sy, Cheah Eng Chuan dan Datuk James Jr Lee Weng Kei.
Mereka mengemukakan permintaan rasmi kepada syarikat selepas mendakwa mempunyai pegangan saham yang mencukupi untuk membolehkan EGM dilaksanakan.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, PRG berkata pihaknya telah menerima notis bertulis daripada kumpulan pemegang saham tersebut yang mengandungi beberapa cadangan termasuk perubahan terhadap komposisi lembaga pengarah syarikat.
Menerusi usul yang dikemukakan, mereka mencadangkan pelantikan Datuk Sheah Kok Fah, Datuk Richard George Azlan Abas dan Datuk Dr Teo Tong Kooi sebagai pengarah baharu PRG.
Kumpulan pemegang saham itu juga mahu sebarang pelantikan pengarah baharu yang dibuat selepas permintaan EGM dikemukakan dibatalkan, kecuali membabitkan tiga individu yang mereka calonkan.
Mereka juga mengusulkan supaya yuran dan elaun sehingga RM400,000 diperuntukkan kepada pengarah bukan eksekutif bagi tempoh bermula dari tarikh EGM sehingga Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) syarikat yang akan datang.
Usaha Sheah untuk menyingkirkan Andrew bukan perkara baharu kerana sebelum ini beliau pernah cuba membawa usul yang sama pada AGM PRG yang berlangsung pada 25 Jun lalu.
Namun lembaga pengarah menolak cadangan tersebut dengan alasan ia tidak memenuhi keperluan undang-undang yang mengawal resolusi pemegang saham.
ARTIKEL BERKAITAN: Pemegang saham terbesar saman PRG Holdings sebanyak RM21.2 juta
Menurut Sheah, tindakannya didorong oleh kebimbangan terhadap aspek tadbir urus korporat, khususnya membabitkan cadangan penyelesaian hutang antara PRG dan Premier De Muara Sdn. Bhd. (PDM), sebuah syarikat pemaju hartanah yang dikaitkan dengan pemegang saham terbesar PRG.
Beliau berkata kebimbangannya tertumpu kepada cadangan penyelesaian hutang RM37.17 juta yang perlu dibayar Premier De Muara Sdn. Bhd. (PDM) kepada PRG bagi kerja pembinaan projek Picasso Residence di Jalan Jelatek, Kuala Lumpur yang dilaksanakan oleh anak syarikat PRG, Premier Construction International Sdn. Bhd. (PCI).
Sheah mendakwa urus niaga itu sepatutnya didedahkan sebagai transaksi pihak berkaitan memandangkan PDM dikaitkan dengan pemegang saham terbesar PRG, Datuk Ng Yan Cheng.
Ini kerana Andrew, yang dilantik sebagai Pengarah Urusan Kumpulan pada 26 Mac 2024, merupakan menantu kepada Ng yang memiliki 16.39% kepentingan dalam PRG, sekali gus mencetuskan persoalan mengenai aspek tadbir urus korporat.
Dalam perkembangan berasingan, pertikaian antara PRG dan Ng dilihat semakin memuncak apabila syarikat itu pada 1 Julai lalu memaklumkan telah menerima tuntutan statutori berjumlah RM21.22 juta daripada Ng membabitkan pendahuluan modal kerja yang direkodkan sebagai pinjaman pemegang saham.
Tuntutan itu dibuat hanya beberapa hari selepas Premier Construction International menuntut bayaran tertunggak RM64.24 juta daripada PDM.
Ng turut memberi tempoh 21 hari kepada PRG untuk menjelaskan jumlah berkenaan, dan sekiranya gagal, beliau berhak memulakan prosiding penggulungan terhadap syarikat.
Perkembangan itu meletakkan PRG berdepan tekanan daripada pelbagai sudut, termasuk perebutan kuasa dalam lembaga pengarah, isu tadbir urus korporat serta pertikaian kewangan yang berpotensi memberi kesan kepada kedudukan syarikat. - DagangNews.com








