KUALA LUMPUR 9 Julai – Eita Resources Bhd memperoleh kontrak bernilai RM20.5 juta bagi membekalkan sistem pengagihan kuasa untuk sebuah projek pusat data di Indonesia.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata kontrak berkenaan diterima menerusi anak syarikat milik penuhnya, Furutec Electrical Sdn Bhd selepas menerima surat penganugerahan daripada pelanggan yang identitinya tidak didedahkan.
Menurut Eita Resources, skop kerja melibatkan pembekalan dan penghantaran sistem busduct, iaitu sistem pengagihan kuasa elektrik berkapasiti tinggi yang lazim digunakan di pusat data, kilang dan bangunan komersial berskala besar bagi memastikan bekalan elektrik yang stabil serta cekap.
Kontrak itu dijadualkan dilaksanakan dalam tempoh empat bulan bermula Jun hingga September 2026.
Selain menghasilkan dan menyelenggara sistem lif serta komponen berkaitan, Eita Resources turut menjalankan perniagaan pemasaran dan pengedaran komponen serta peralatan elektrik dan elektronik.
Syarikat itu juga menyediakan perkhidmatan sistem elektrik dan keselamatan selain mengedarkan kabel kalis api untuk pelbagai projek pembangunan.
Pada awal bulan lalu, EITA Resources menerusi anak syarikat milik penuhnya, EITA Power System Sdn Bhd memperoleh kontrak bernilai RM40.9 juta bagi pembekalan sistem pengagihan kuasa tertutup untuk sebuah projek pusat data di Johor.
Penganugerahan kontrak terbaharu ini dijangka memperkukuhkan lagi kedudukan Eita Resources dalam segmen penyelesaian elektrik, khususnya apabila permintaan terhadap pembangunan pusat data terus meningkat di rantau Asia Tenggara.
Projek itu juga mencerminkan kemampuan kumpulan untuk membekalkan komponen infrastruktur elektrik bagi projek berteknologi tinggi di luar Malaysia, sekali gus memperluaskan kehadirannya dalam pasaran serantau. - DagangNews.com








