Lanjutan tempoh akaun amanah projek di Mexico dikhuatiri jejaskan hasil Coastal Contracts - TA Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Lanjutan tempoh akaun amanah projek di Mexico dikhuatiri jejaskan hasil Coastal Contracts - TA Securities

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 23 Feb — Penyambungan tempoh penubuhan akaun amanah bagi projek Ixachi di Mexico menimbulkan kekhuatiran mengenai kelewatan pengiktirafan hasil Coastal Contracts Berhad.


Bagaimanapun TA Securities menilai perubahan tersebut hanya bersifat prosedur, serta bukan petunjuk risiko kontrak, bagi loji gas, pengasingan dan infrastruktur yang berkaitan di Lapangan Ixachi.


Jelasnya, ia susulan pindaan kontrak usaha sama (JV), Coastoil Dynamic SA de CV, dengan konsortium dan Petroleos Mexicanos (Pemex) bagi kerja-kerja kejuruteraan, perolehan dan pembinaan (EPC).


"Di bawah struktur baharu, Pemex perlu menubuhkan akaun amanah dibiayai hasil jualan hidrokarbon dari Lapangan Ixachi untuk memudahkan pembayaran kerja ditetapkan," kata firma penyelidikan itu.


Tarikh kuat kuasa kontrak ditetapkan sebagai hari bekerja pertama selepas akaun amanah tersebut diwujudkan, dan menerusi addendum itu, tempoh bagi Pemex menubuhkan akaun amanah dilanjutkan.


Asalnya daripada 30 hari bekerja kepada 55 hari bekerja, dengan tarikh akhir baharu pada 12 Mac 2026, tetapi tiada perubahan terhadap skop kerja, struktur kontrak atau mekanisme pembayaran.


Artikel berkaitan: Projek RM4.64 bilion Coastal Contracts di Mexico bermula 12 Mac 2026 selepas tempoh akaun amanah dilanjutkan


TA Securities berpandangan pelanjutan itu tidak menjejaskan asas komersial projek. meskipun tarikh kuat kuasa dan seterusnya pengiktirafan hasil kemungkinan besar boleh tertangguh sedikit.


"Kami tidak melihatnya sebagai penyusutan struktur, manakala momentum pelaksanaan adalah kekal terpelihara walaupun terdapat pelarasan dari segi tambahan garis masa,” kata firma berkenaan.


Malah jelasnya, tempoh masa projek Loji Papan Kedua masih lagi tidak berubah dengan sasaran gas pertama dikeluarkan pada suku keempat 2026, sekali gus mencerminkan kemajuan operasi yang stabil.


Justeru, TA Securities mengekalkan unjuran kewangan FY26 hingga FY27 tanpa perubahan kerana tiada semakan terhadap nilai kontrak, skop mahupun tempoh projek, dengan hasil kekal seperti dirancang.


Firma penyelidikan itu turut mengekalkan harga sasaran (TP) iaitu RM2.21 sesaham yang berdasarkan penilaian jumlah bahagian (SOP) dan tidak mengubah saranan ‘beli’ ke atas saham Coastal Contracts.


"Projek Ixachi terus menjadi pemacu utama strategi pengembangan luar negara serta mengukuhkan kedudukan jangka panjang kumpulan bersama Pemex dalam pasaran tenaga Mexico," katanya. - DagangNews.com