Projek RM4.64 bilion Coastal Contracts di Mexico bermula 12 Mac 2026 selepas tempoh akaun amanah dilanjutkan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Projek RM4.64 bilion Coastal Contracts di Mexico bermula 12 Mac 2026 selepas tempoh akaun amanah dilanjutkan

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 20 Feb – Coastal Contracts Bhd mengumumkan bahawa anak syarikatnya di Mexico, Coastoil Dynamic S.A. De C.V bersama dua anggota konsortium lain dan Pemex, syarikat petroleum milik kerajaan Mexico, telah menandatangani pindaan kontrak bagi projek loji pemurnian gas, loji pemisahan, dan infrastruktur kekal berkaitan di Lapangan Ixachi, Mexico.

 

Pindaan ini melibatkan lanjutan tempoh bagi Pemex menubuhkan akaun amanah bagi pembayaran kepada Coastoil Dynamic S.A. De C.V., daripada 30 hari bekerja kepada 55 hari bekerja dari tarikh tandatangan kontrak. 

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Coastal Contracts berkata akaun Amanah itu dijangka siap pada 12 Mac 2026.

 

“Tarikh efektif kontrak akan ditetapkan pada hari bekerja pertama selepas akaun amanah tersebut diwujudkan.

 

“Syarikat akan membuat pengumuman lanjut sekiranya terdapat sebarang perkembangan material berkaitan kontrak ini,” katanya dalam makluman tersebut.

 

Pada 22 Disember 2025, Coastal Contracts mengumumkan ia telah memenangi kontrak besar dengan Petróleos Mexicanos (Pemex), syarikat minyak milik kerajaan Mexico, melalui konsortium yang diterajui anak syarikatnya di Mexico, Coastoil Dynamic SA de CV. 

 

ARTIKEL BERKAITAN: Coastal Contracts raih tender bernilai RM4.64 bilion dari Pemex, kukuhkan kedudukan strategik medan gas di Mexico

 

Kontrak ini bernilai kira-kira US$1.14 bilion (lebih kurang RM4.64 bilion) dan ditandatangani pada 19 Disember 2025 (waktu Mexico).

 

Kontrak tersebut melibatkan kerja kejuruteraan, perolehan dan pembinaan (EPC) untuk sebuah loji pemurnian gas (gas sweetening plant) dengan kapasiti 150 juta kaki padu sehari, serta loji pemisahan gas dan minyak dengan kapasiti sehingga 900 juta kaki padu gas sehari dan 56,000 tong minyak sehari. 

 

Ia juga merangkumi pembinaan infrastruktur kekal seperti saluran paip kondensat.

 

Selain daripada pembinaan, konsortium itu juga bertanggungjawab menyediakan perkhidmatan pemurnian gas selepas loji siap dibina, yang dijangka bermula pada suku keempat 2026 dan akan berlangsung hampir sembilan tahun.

 

Projek ini terletak di Lapangan Ixachi, salah satu medan gas darat utama di Mexico. 

 

Pelaksanaan kontrak ini dijangka memperkukuhkan kedudukan Coastal dan rakan konsortinya dalam industri pemprosesan gas di negara itu. - DagangNews.com