Coastal Contracts raih tender bernilai RM4.64 bilion dari Pemex, kukuhkan kedudukan strategik medan gas di Mexico | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Coastal Contracts raih tender bernilai RM4.64 bilion dari Pemex, kukuhkan kedudukan strategik medan gas di Mexico

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 22 Dis – Coastal Contracts Bhd mencatat satu lagi kemenangan kontrak utama di peringkat antarabangsa selepas konsortium yang diterajui syarikat usaha sama Mexiconya memperoleh kontrak jangka panjang bernilai AS$1.14 bilion (RM4.64 bilion) daripada Petroleos Mexicanos (Pemex).

 

Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, Coastal berkata konsortium yang terdiri daripada Coastoil Dynamic SA de CV (CD), Sistemas Integrales De Compresion SA de CV dan Nuvoil SA de CV telah dianugerahkan kontrak tersebut pada 19 Disember 2025, sekali gus mengukuhkan kedudukan strategik CD di medan gas Ixachi, antara lembangan gas darat paling penting di Mexico.

 

Menurut syarikat itu, di bawah kontrak berkenaan, konsortium dengan CD sebagai peneraju akan melaksanakan skop kerja bernilai tinggi merangkumi kejuruteraan, perolehan dan pembinaan loji pemprosesan gas baharu berkapasiti 150 juta kaki padu standard sehari (mmscfd) atau dikenali sebagai 2nd Papan Plant, pembinaan loji pemisahan dengan kapasiti pengendalian sehingga 900 mmscfd gas dan 56,000 tong minyak sehari (bpd), selain infrastruktur kekal berkaitan termasuk saluran paip kondensat.

 

“Kontrak ini turut meliputi penyediaan perkhidmatan pemanisan gas oleh 2nd Papan Plant sebaik sahaja loji itu beroperasi menjelang suku keempat 2026,” katanya.

 

Selepas kontrak baharu ini, jumlah kapasiti pemprosesan gas CD akan meningkat kepada 680 mmscfd, terdiri daripada 180 mmscfd daripada Perdiz Plant yang beroperasi sehingga Disember 2027, 350 mmscfd daripada Papan Plant sedia ada sehingga Oktober 2032 dan 150 mmscfd daripada 2nd Papan Plant yang dikontrakkan untuk tempoh lapan tahun dan 10 bulan sehingga Ogos 2035.

 

Coastal berkata peningkatan kapasiti itu mengukuhkan peranan strategik CD dalam rantaian nilai gas darat Pemex, selain membuka potensi pengembangan kapasiti selanjutnya memandangkan pengeluaran medan Ixachi dijangka melebihi 1,000 mmscfd pada tahap puncak pada masa hadapan.

 

Susulan kemenangan kontrak tersebut, jumlah buku pesanan CD dianggarkan meningkat kepada kira-kira RM7.40 bilion, memberikan keterlihatan hasil dan kelestarian pendapatan sehingga Ogos 2035.

 

CD turut disokong kedudukan kewangan kukuh dengan tunai melebihi AS$100 juta (RM408.6 juta). 

 

Menurut Coastal, penganugerahan kontrak itu mencerminkan keyakinan Pemex terhadap keupayaan teknikal, catat prestasi operasi serta kepakaran tempatan CD dalam melaksanakan projek infrastruktur gas darat yang kompleks, selain menandakan satu lagi pencapaian penting dalam trajektori pertumbuhan global kumpulan. - DagangNews.com