KUALA LUMPUR 24 Julai – Kelantan berpotensi memperluaskan industri manganese ke peringkat lebih tinggi menerusi kerjasama strategik bersama syarikat Jepun, AML Holdings LLC yang dijangka membuka peluang pelaburan baharu, membawa masuk teknologi serta memperkukuh rantaian nilai sektor mineral negeri.
Kerjasama itu dimeterai menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kelstone Sdn Bhd, anak syarikat Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) dan AML Holdings LLC sebagai usaha membangunkan potensi industri manganese secara lebih menyeluruh.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, kerjasama berkenaan merupakan langkah strategik bagi memperkukuhkan industri mineral negeri menerusi penglibatan pemain antarabangsa yang mempunyai kepakaran dalam sektor tersebut.
Menurut beliau, penyertaan syarikat dari Jepun itu dijangka membantu meningkatkan keupayaan industri tempatan melalui perkongsian kepakaran, pemindahan teknologi serta pembangunan aktiviti hiliran berkaitan manganese.
“Kerjasama ini dijangka membuka lebih banyak peluang pelaburan, mempercepatkan pemindahan teknologi serta memperkukuh pembangunan rantaian nilai industri mineral khususnya manganese.
“Ia turut meningkatkan daya saing Kelantan dalam pasaran mineral global,” katanya selepas menyaksikan majlis menandatangani MoU antara Kelstone dan AML Holdings LLC di Kompleks Kota Darulnaim baru-baru ini.
Beliau berkata, Kelantan mempunyai kelebihan tersendiri dalam industri berkenaan kerana merupakan satu-satunya negeri di Malaysia yang menjalankan pengeluaran manganese.
Berdasarkan maklumat yang dikongsikan Naib Pengerusi merangkap Ahli Lembaga Pengarah AML Holdings LLC, Yuki Nakamura, Malaysia kini berada pada kedudukan ketujuh terbesar dunia dari segi pengeluaran manganese.

Mohamed Fadzli berkata, kedudukan tersebut menunjukkan potensi besar yang dimiliki Kelantan dalam sektor mineral, terutama apabila sumber berkenaan dibangunkan bersama teknologi dan kepakaran antarabangsa.
Katanya, pembangunan industri manganese secara lebih tersusun berpotensi memberi manfaat kepada ekonomi negeri menerusi kemasukan pelaburan, penciptaan peluang pekerjaan serta pertumbuhan industri sokongan berkaitan mineral.
Manganese pemacu baharu ekonomi negeri
Beliau berkata, pengembangan industri mineral bukan sahaja memberi tumpuan kepada aktiviti pengeluaran, malah turut membuka ruang kepada pembangunan sektor hiliran yang mampu meningkatkan nilai ekonomi sumber berkenaan.
Menurutnya, pendekatan membangunkan rantaian nilai industri manganese akan membantu Kelantan bergerak daripada pengeluaran bahan mentah kepada aktiviti yang mempunyai nilai tambah lebih tinggi.
Beliau turut berharap Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) terus memainkan peranan sebagai pemudah cara dan penyelaras dalam memastikan potensi industri mineral Kelantan dapat dimanfaatkan sepenuhnya.
Katanya, sokongan berterusan daripada ECERDC penting bagi membantu mempercepatkan pembangunan sektor mineral yang berpotensi menjadi salah satu pemacu baharu pertumbuhan ekonomi negeri.
“Potensi besar yang dimiliki industri mineral ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya supaya mampu memberi limpahan ekonomi kepada rakyat dan negeri,” katanya.
Majlis itu menyaksikan Kelstone dan AML Holdings LLC memperkukuhkan kerjasama pembangunan industri mineral Kelantan, termasuk meneroka peluang baharu dalam pelaburan, teknologi serta pengembangan rantaian nilai manganese. - DagangNews.com








