Pengusaha stesen minyak gesa kerajaan semak caj MDR kad kredit yang semakin membebankan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pengusaha stesen minyak gesa kerajaan semak caj MDR kad kredit yang semakin membebankan

KUALA LUMPUR 24 Julai - Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Bumiputera Malaysia (Bumipeda) menggesa kerajaan supaya mengkaji semula kadar Merchant Discount Rate (MDR) yang dikenakan bagi transaksi menggunakan kad kredit.

 

Naib presidennya, Shahrul Nizam Md Radzi, berkata caj MDR kini semakin membebankan pengusaha stesen minyak, selain menambah tekanan kos yang sudah meningkat susulan kenaikan harga bahan api.

 

"Kami berharap kerajaan dapat mempertimbangkan semakan terhadap caj MDR yang ketika ini dikenakan berdasarkan harga pam yang lebih tinggi dan memberi tekanan kepada pengusaha stesen minyak," katanya ketika menyertai program Malaysia Petang Ini terbitan Bernama TV bertajuk "Geopolitik Asia Barat: Mendorong Kenaikan Harga Bahan Api" semalam.

 

Shahrul Nizam berkata, pengusaha stesen minyak kini bukan lagi hanya menguruskan jualan bahan api kepada pengguna, malah turut berdepan cabaran berkaitan pengurusan inventori, modal kerja, aliran tunai, risiko operasi serta peningkatan penggunaan pembayaran digital.

 

"Justeru, dasar yang baik bukan sahaja perlu melindungi pengguna tetapi juga memastikan keseluruhan rantaian bekalan kekal mampan," katanya.

 

Beliau turut menggesa kerajaan supaya terus menilai dan menambah baik Mekanisme Penetapan Harga Automatik (APM) bagi memastikan ia kekal relevan dalam menghadapi perubahan pasaran tenaga global.

 

"Matlamatnya adalah memastikan harga yang adil kepada pengguna, industri yang mampan serta bekalan tenaga negara yang stabil dan terjamin," katanya. - BERNAMA