Keputusan Mahkamah Rayuan tidak gugat perniagaan AEON, MBSB Research kekalkan saran 'beli' saham | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Keputusan Mahkamah Rayuan tidak gugat perniagaan AEON, MBSB Research kekalkan saran 'beli' saham

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 24 Julai – Walaupun berdepan dengan keputusan Mahkamah Rayuan yang tidak memihak kepada syarikat, potensi perniagaan AEON Co (M) Berhad dilihat kekal kukuh, kata MBSB Research.

 

Impak kewangan daripada kes tersebut disifatkan kecil dan tidak menjejaskan operasi teras, dengan faktor itu mendorong firma berkenaan mengekalkan pandangan positif terhadap prospek sahamnya.

 

Justeru, ia mengekalkan saranan 'beli' dan harga sasaran (TP) RM1.47 sesaham berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (PER) 14.5 kali bagi unjuran pendapatan sesaham (EPS) FY26 iaitu 10.1 sen.

 

"Keputusan mahkamah itu tidak mengubah asas pelaburan AEON yang masih disokong oleh perniagaan peruncitan dan segmen perkhidmatan pengurusan hartanah terus berdaya tahan," jelas MBSB Research.

 

Kumpulan itu ujarnya, namun bercadang mendapatkan kebenaran merayu ke peringkat tertinggi di Mahkamah Persekutuan, dan berusaha memohon penangguhan pelaksanaan keputusan Mahkamah Rayuan.

 

Firma itu menjelaskan pendedahan kewangan tambahan adalah terhad kerana jumlah penghakiman RM18.68 juta bersama faedah terkumpul sudah didepositkan lebih awal ke dalam akaun pemegang amanah.

 

Artikel berkaitan: AEON mahu merayu di Mahkamah Persekutuan selepas Mahkamah Rayuan kekalkan keputusan tuntutan RM18.68 juta Betanaz

 

Aeon_DagangNews2026

 

Sehubungan itu kata MBSB Research, liabiliti perlu ditanggung AEON hanya melibatkan faedah terakru selepas 23 Januari 2025 serta kos guaman Mahkamah Rayuan, yang disifatkan tiada kesan material.

 

"Kami menganggarkan tambahan faedah berjumlah RM1.4 juta berdasarkan kadar faedah tahunan 5%, manakala kos guaman bersih hanya RM40,000 selepas diambil kira bayaran perlu diterima," katanya.

 

Secara keseluruhan, impak tambahan kepada keuntungan bersih dianggarkan RM1.44 juta atau hanya 1% daripada unjuran keuntungan bersih teras selepas kepentingan bukan kawalan (PATANCI) bagi FY26. 

 

MBSB Research berkata, jika prosiding diteruskan dan penangguhan diberikan, tambahan faedah bagi setiap tahun berikutnya dianggarkan RM930,000, dengan kesan kewangan ke atas AEON masih terkawal.

 

Berdasarkan situasi itu, ia mengekalkan unjuran pendapatan dan TP tanpa sebarang perubahan kerana berpandangan isu undang-undang tersebut lebih bersifat sekali sahaja tanoa menjejaskan prestasi. 

 

"Tumpuan pelabur kini adalah terhadap keputusan permohonan rayuan, status penangguhan pelaksanaan penghakiman dan keputusan berkaitan penilaian ganti rugi jaminan bank," tambahnya. - DagangNews.com