redBus lancar platform digital percuma bantu penggiat industri pelancongan Terengganu pasarkan produk, perkhidmatan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

redBus lancar platform digital percuma bantu penggiat industri pelancongan Terengganu pasarkan produk, perkhidmatan

Kerjasama itu bertujuan membantu pengusaha pelancongan tempatan, penyedia aktiviti, perniagaan berasaskan komuniti serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) memperluaskan capaian pasaran dengan menyenaraikan produk serta pengalaman pelancongan mereka dalam platform “Things To Do” redBus
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA TERENGGANU 24 Julai – redBus, platform tempahan tiket bas dalam talian, bekerjasama dengan Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu dengan melancarkan Inisiatif Pendigitalan Pelancongan Terengganu untuk memperkukuh ekosistem pelancongan negeri menerusi penggunaan teknologi digital.

 

Kerjasama itu bertujuan membantu pengusaha pelancongan tempatan, penyedia aktiviti, perniagaan berasaskan komuniti serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) memperluaskan capaian pasaran dengan menyenaraikan produk serta pengalaman pelancongan mereka dalam platform “Things To Do” redBus.

 

Menerusi inisiatif berkenaan, pengusaha tempatan boleh menyertai platform tersebut secara percuma termasuk kemudahan penyenaraian produk, sistem tiket elektronik, pengurusan inventori serta sokongan teknikal bagi memudahkan operasi tempahan secara dalam talian.

 

Langkah itu membolehkan pengusaha pelancongan Terengganu mencapai lebih ramai pelancong domestik dan antarabangsa menerusi satu platform digital, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada kaedah tempahan secara luar talian yang mempunyai capaian lebih terhad.

 

Inisiatif berkenaan turut dilihat bertepatan dengan perkembangan positif sektor pelancongan negeri apabila Terengganu merekodkan 2.45 juta ketibaan pelancong domestik dan antarabangsa pada suku pertama 2026.

 

Memperkasa Perniagaan Tempatan Menerusi Teknologi Digital

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Terengganu, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Datuk Razali Idris berkata, pengukuhan ekosistem pelancongan negeri bukan sekadar bertujuan menarik lebih ramai pengunjung, tetapi memastikan perniagaan tempatan turut mendapat manfaat daripada peningkatan permintaan.

 

Beliau berkata, usaha mendigitalkan perniagaan yang diusahakan penggiat industri pelancongan amat penting bagi memastikan mereka mempunyai keupayaan untuk memanfaatkan peluang baharu dalam industri yang semakin bergantung kepada teknologi.

 

“Dengan jutaan pelawat yang telah memilih Terengganu sebagai destinasi pilihan, adalah penting untuk memastikan pengusaha pelancongan kita dilengkapi dengan keupayaan digital bagi merebut peluang yang tersedia.

 

“Kerjasama bersama redBus ini akan membantu merapatkan jurang digital dengan memudahkan pengusaha pelancongan, PKS dan perusahaan berasaskan komuniti mempamerkan tawaran mereka kepada khalayak lebih luas,” katanya.

 

Beliau berkata, inisiatif itu turut menyokong usaha kerajaan negeri menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 dan Tahun Melawat Terengganu 2027 dengan menyediakan pengalaman perjalanan yang lebih mudah serta lancar kepada pengunjung.

 

redBus Luaskan Akses Pelancongan Terengganu Ke Pasaran Global

Sementara itu, Ketua Pegawai Perniagaan redBus, Krishnan Ramaswami berkata, pendigitalan kini memainkan peranan penting dalam mengubah cara pelancong mencari, merancang dan membuat tempahan perjalanan.

 

Beliau berkata, menerusi kerjasama itu, redBus bukan sahaja menawarkan kemudahan berkaitan pengangkutan, malah membantu perniagaan pelancongan Terengganu mendapat akses digital kepada jutaan pengguna yang menggunakan platform berkenaan.

 

Katanya, kerjasama bersama Tourism Terengganu akan mewujudkan peluang ekonomi baharu kepada pengusaha tempatan di samping memudahkan pelancong meneroka pelbagai tarikan yang ditawarkan negeri itu.

 

Antara objektif utama inisiatif tersebut adalah memperluaskan pasaran produk pelancongan Terengganu, memudahkan tempahan pengalaman tempatan secara dalam talian, memperkasakan perniagaan pelancongan berasaskan teknologi serta menyokong pertumbuhan ekonomi negeri secara mampan.

 

Tourism Terengganu dan redBus akan bekerjasama mengenal pasti pengusaha pelancongan di seluruh negeri untuk didigitalkan sebelum melaksanakan kempen pemasaran destinasi secara bersepadu menerusi platform digital tersebut.

 

Melalui capaian komuniti global redBus, pengusaha yang menyertai inisiatif ini berpeluang menerima sokongan pemasaran serta analisis prestasi bagi membantu mereka meningkatkan kehadiran dalam talian dan daya saing dalam industri pelancongan.

 

Kerjasama itu dijangka menyumbang kepada peningkatan daya saing sektor pelancongan Terengganu, menggalakkan lebih banyak perbelanjaan pelancong dalam komuniti tempatan serta mewujudkan ekosistem pelancongan yang lebih inklusif, berdaya tahan dan mampan.- DagangNews.com