KUALA LUMPUR 6 Julai – Kyrgyzstan melancarkan Wilayah Pelaburan Kewangan Khas (SFIT) Tamchy sebagai hab kewangan antarabangsa baharu dengan menawarkan pelbagai insentif kepada pelabur asing termasuk pengecualian cukai sehingga 49 tahun bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi negara itu.
Wilayah kewangan khas yang terletak di pesisir Tasik Issyk-Kul itu dirasmikan oleh Presiden Kyrgyzstan, Sadyr Japarov yang menyifatkan projek tersebut sebagai langkah strategik untuk meletakkan negara itu sebagai destinasi pelaburan bertaraf antarabangsa.
Menurut beliau, perubahan landskap ekonomi dunia mewujudkan permintaan terhadap pusat kewangan baharu yang menawarkan sistem perundangan stabil, peraturan telus dan kebebasan kepada pelabur untuk berinovasi serta membuat pelaburan jangka panjang.
Beliau berkata, Tamchy SFIT merupakan projek nasional Kyrgyzstan yang dibangunkan dari peringkat awal dengan kemudahan lengkap termasuk mahkamah bebas, badan pengawal selia kewangan sendiri serta rangka kerja perundangan yang memberi kepastian kepada pelabur.
Pada majlis pelancarannya, beberapa syarikat dari Korea Selatan, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Hong Kong, Switzerland dan Kazakhstan diumumkan sebagai antara peserta pertama wilayah kewangan khas itu, manakala kira-kira 20 lagi syarikat antarabangsa sedang melalui proses mendapatkan status sama.
Dalam majlis pelancaran itu, Japarov mengaktifkan suis berbentuk geotag secara simbolik yang menunjukkan Tamchy SFIT secara rasmi diletakkan di peta kewangan global.
Tamchy SFIT menyasarkan untuk menarik kira-kira 4,000 syarikat pemastautin, mewujudkan lebih 10,000 peluang pekerjaan serta menyumbang sekitar AS$20 bilion kepada ekonomi Kyrgyzstan bagi tempoh 2026 hingga 2035.
Salah satu tarikan utama wilayah tersebut ialah pelaksanaan cukai khas yang menawarkan kadar sifar peratus bagi cukai keuntungan korporat, dividen, keuntungan modal serta cukai nilai tambah (VAT) selama 49 tahun.
Tamchy SFIT turut membenarkan pelabur asing memiliki syarikat sepenuhnya tanpa keperluan rakan kongsi tempatan, selain membolehkan keuntungan dipindahkan keluar dari negara itu tanpa sebarang sekatan.

Dari aspek perundangan, wilayah berkenaan menggunakan prinsip ‘English common law’ atau undang-undang lazim Inggeris, selain mempunyai badan pengawal selia kewangan sendiri, Pusat Penyelesaian Pertikaian Antarabangsa serta sistem pendaftaran digital sehenti bagi memudahkan urusan syarikat.
Wilayah yang meliputi kawasan seluas kira-kira 6,000 hektar itu kini mempunyai pusat perniagaan yang telah beroperasi sepenuhnya manakala pembangunan hotel dan kediaman sedang giat dilaksanakan.
Lapangan Terbang Antarabangsa Issyk-Kul pula terletak hanya dalam jarak berjalan kaki dari kawasan tersebut.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Pertama Majlis Pengurusan Tamchy SFIT, Ali Ijaz Ahmad berkata pusat kewangan yang berjaya perlu memahami keperluan modal dan perniagaan antarabangsa dengan menawarkan platform yang diyakini, fleksibel dan mampu menyokong pertumbuhan mampan.
Menurut beliau, Tamchy SFIT dibangunkan berasaskan piawaian antarabangsa dan prinsip undang-undang lazim Inggeris, selain kedudukannya di persimpangan lima ekonomi Kesatuan Ekonomi Eurasia (EAEU) serta koridor Eurasia memberikan kelebihan kepada syarikat yang mahu mengembangkan operasi ke pasaran serantau.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Serim, Seo Dong Hyun pula berkata, beliau memilih untuk mendaftarkan syarikat keluarganya di Tamchy SFIT kerana yakin terhadap ketelusan undang-undang dan sistem kawal selia yang ditawarkan.
Beliau berkata, pembangunan Tamchy SFIT hanya mengambil masa setahun untuk direalisasikan, menjadikannya antara wilayah kewangan khas yang paling pantas dibangunkan sepanjang lebih 30 tahun pengalamannya berkecimpung dalam industri semikonduktor, teknologi tinggi dan tenaga.
“Kini, saya mendaftarkan syarikat keluarga di sini. Bagi saya, ini bukan pelaburan untuk beberapa tahun, tetapi untuk beberapa generasi,” katanya. - DagangNews.com








