KDNK Terengganu meningkat 1.6% kepada RM40.6 bilion pada 2025 – DOSM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KDNK Terengganu meningkat 1.6% kepada RM40.6 bilion pada 2025 – DOSM

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA TERENGGANU 6 Julai – Ekonomi Negeri Terengganu mencatat pertumbuhan perlahan pada tahun 2025 dengan peningkatan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak 1.6% kepada RM40.6 bilion berbanding RM40 bilion pada tahun sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, perkembangan ini menunjukkan ekonomi negeri masih berkembang, namun pada kadar sederhana berikutan perbezaan prestasi antara sektor utama.

 

Beliau berkata berdasarkan laporan KDNK Negeri Terengganu 2025, sektor perkhidmatan kekal sebagai penyumbang terbesar kepada ekonomi negeri dengan sumbangan 53% daripada keseluruhan KDNK.

 

“Sektor tersebut turut mencatat pertumbuhan kukuh sebanyak 3.6% dipacu oleh subsektor utiliti, pengangkutan dan penyimpanan serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

 

“Selain itu, perkhidmatan kerajaan turut menunjukkan peningkatan stabil sebanyak 4.3%, menjadikan sektor perkhidmatan sebagai tonggak utama ekonomi negeri,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Sektor pembuatan pula mencatat penyusutan sebanyak 1.2% kepada RM14.5 bilion pada 2025, dipengaruhi oleh kelembapan dalam pengeluaran produk petroleum, kimia, getah dan plastik.

 

Penurunan ini menunjukkan cabaran berterusan dalam sektor industri berat yang masih bergantung kepada komoditi dan rantaian bekalan global.

 

t

 

Dalam masa sama, sektor pertanian mencatat prestasi memberangsangkan dengan pertumbuhan 4.2% kepada RM3.1 bilion, melepasi purata nasional sebanyak 2.2%.

 

Beliau berkata pertumbuhan ini didorong oleh peningkatan pengeluaran kelapa sawit serta pengembangan subsektor ternakan yang meningkat 5% berbanding tahun sebelumnya.

 

“Namun begitu, sektor pembinaan mencatatkan penyusutan ketara sebanyak 5.8% kepada RM1.3 bilion, berbanding pertumbuhan kukuh 17.5% pada tahun sebelumnya.

 

“Penurunan ini sebahagian besarnya berpunca daripada kelembapan dalam subsektor kejuruteraan awam yang merosot 10.4%,” katanya.

 

Sektor perlombongan dan pengkuarian turut mencatat penurunan 2.2% kepada RM233.3 juta, selari dengan pengurangan aktiviti berkaitan minyak dan gas di negeri tersebut.

 

Dari sudut pendapatan per kapita, Terengganu merekodkan sedikit peningkatan kepada RM32,657 pada 2025 berbanding RM32,518 pada tahun sebelumnya, menandakan peningkatan yang sangat marginal.

 

DOSM berkata, struktur ekonomi Terengganu kini lebih seimbang dengan dominasi sektor perkhidmatan, namun masih berdepan cabaran dalam memperkukuh sektor pembuatan dan pembinaan. DagangNews.com