KUALA LUMPUR 6 Julai – Pembungkusan semikonduktor termaju dan pembangunan pusat data (DC) dijangka mencetuskan kitaran pertumbuhan baharu sektor teknologi yang mampan, kata Kenanga Research.
Firma itu namun mengingatkan isu ketidaktentuan permintaan dalam segmen elektronik pengguna serta tekanan kos masih menjadi cabaran utama, menyebabkan pendekatan pemilihan saham kekal penting.
Ujarnya, berbeza dengan kitaran sebelum ini dipacu permintaan terhadap produk elektronik pengguna, pertumbuhan semasa disokong pelaburan jangka panjang dalam infrastruktur kecerdasan buatan (AI).
"Justeru, kami menyemak semula kaedah penilaian bagi syarikat pemasangan dan ujian semikonduktor luar (OSAT) serta pengeluar peralatan ujian automatik (ATE)," jelas Kenanga Research dalam notanya.
Tambahnya, ia berikutan prospek hasil kukuh dan kitaran pertumbuhan industri yang panjang, dengan penanda aras nisbah harga kepada pendapatan (P/E) telah dinaikkan bagi syarikat dalam segmen OSAT.
Antaranya Inari Amertron Berhad dan Malaysian Pacific Industries Berhad kepada sebanyak 32.6 kali daripada 29 kali, manakala penilaian P/E bagi Unisem (M) Berhad pula 31 kali, meningkat berbanding 26 kali.

Dalam segmen ATE, Kenanga Research menaikkan gandaan penilaian Pentamaster Corporation Berhad kepada 35.7 kali daripada 30 kali, sejajar dengan penilaian semasa syarikat dalam kitaran industri.
"Bagaimanapun, kami mengekalkan pendirian berhati-hati terhadap perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS), memandangkan syarikat dalam segmen itu masih bergantung kepada pasaran pengguna," ujarnya.
Segmen ini berdepan pemulihan permintaan lebih perlahan serta tekanan kos secara berterusan, dan penanda aras penilaian dikekalkan pada 14.7 kali, mencerminkan prospek yang masih lagi mencabar.
Kenanga Research berkata, secara umum peningkatan pelaburan dalam infrastruktur AI dan penggunaan teknologi pembungkusan cip termaju sedang mengubah rantaian nilai industri semikonduktor global.
Berdasarkan prospek itu, ia tetap mengekalkan penarafan 'outperform' terhadap beberapa saham pilihan termasuk Kelington Group Berhad dengan harga sasaran (TP) RM9.05, dan Inari (TP RM2.72).
"Kami berpandangan industri semikonduktor semakin disokong faktor pertumbuhan struktur, didorong penggunaan AI yang luas, dan peningkatan permintaan terhadap pembungkusan cip termaju," katanya.
Perubahan asas tersebut diyakini mampu menyokong pertumbuhan keuntungan yang lebih mampan dalam jangka panjang bagi syarikat yang berada dalam ekosistem AI dan semikonduktor. - DagangNews.com








