KUALA LUMPUR 6 Julai - Hibiscus Petroleum Bhd mencapai pengeluaran minyak pertama di medan Teal West di Laut Utara, United Kingdom (UK), pada 4 Julai 2026, sekali gus menandakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha memperkukuh operasi huluannya di negara itu.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu berkata, kadar pengeluaran awal minyak kira-kira 6,000 tong sehari (bbl/hari) dicapai menerusi prosedur permulaan operasi secara terkawal.
Menurut Hibiscus Petroleum, kadar pengeluaran itu berada dalam julat sasaran awal antara 4,000 hingga 10,000 tong sehari yang ditetapkan bagi medan berkenaan.
"Kadar pengeluaran minyak dijangka meningkat secara berperingkat selepas operasi mencapai tahap kestabilan susulan proses pengoptimuman telaga," katanya.
Medan Teal West yang terletak di Lesen P.2535, Blok 21/24d di Laut Utara UK dijangka menyumbang tambahan pengeluaran kepada segmen perniagaan Hibiscus Petroleum di United Kingdom.
Selain meningkatkan profil pengeluaran kumpulan, pembangunan medan itu turut menyokong objektif North Sea Transition Authority untuk memaksimumkan pemulihan ekonomi sumber hidrokarbon di Pelantar Benua United Kingdom.
Hibiscus Petroleum memiliki pegangan 100% dalam medan Teal West.
Syarikat itu berkata, maklumat lanjut mengenai prestasi medan berkenaan akan diumumkan bersama keputusan kewangan suku pertama yang dijadualkan pada penghujung Ogos 2026.
Pencapaian pengeluaran minyak pertama itu dijangka memperkukuh sumbangan aset United Kingdom kepada prestasi keseluruhan Hibiscus Petroleum, sejajar strategi syarikat untuk mengoptimumkan pengeluaran daripada aset minyak dan gas matang yang berkualiti tinggi. - DagangNews.com








