KUALA LUMPUR 6 Julai - Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai Hubungan Antarabangsa dan Perdagangan akan mengadakan sidang pendengaran pada 16 Julai ini bagi meneliti perjanjian bekalan unsur nadir bumi bernilai AS$96 juta yang dimeterai antara Lynas Rare Earths Ltd dan Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat (Pentagon).
Pengerusinya, Wong Chen berkata, pendengaran itu bertujuan mendapatkan penjelasan mengenai butiran perjanjian tersebut serta menentukan sama ada ia melanggar mana-mana dasar atau kepentingan Malaysia.
Menurut beliau, jawatankuasa itu akan memanggil wakil Lynas, pegawai kerajaan, pertubuhan alam sekitar dan aktivis hak asasi bagi memberikan keterangan berhubung isu berkenaan.
"Hasil pendengaran ini akan dikemukakan sebagai syor untuk membantu membentuk dasar unsur nadir bumi negara ketika Malaysia sedang berusaha menarik lebih banyak pelaburan bagi membangunkan industri domestik," katanya lapor The Edge.
Lynas, yang mengendalikan antara loji pemprosesan unsur nadir bumi terbesar di dunia di Malaysia, berdepan kritikan daripada beberapa pertubuhan hak asasi berhubung kontrak selama empat tahun itu.
Kumpulan pertubuhan hak asasi berkenaan mendakwa bahan yang dibekalkan menerusi perjanjian tersebut berpotensi digunakan dalam penghasilan senjata buatan Amerika Syarikat yang digunakan oleh Israel dalam konflik di Gaza.
Wong Chen berkata, kerajaan perlu memastikan sumber unsur nadir bumi negara digunakan untuk tujuan yang selaras dengan kepentingan nasional dan nilai kemanusiaan.
"Jika unsur nadir bumi digunakan untuk menyokong pembangunan tenaga boleh diperbaharui, kami akan menyokongnya. Namun, jika ia digunakan untuk penghasilan senjata, saya berpendapat perkara itu tidak sepatutnya berlaku," katanya.
Sebelum itu, Wong Chen menerima memorandum daripada kira-kira 50 penunjuk perasaan yang berhimpun di luar bangunan Parlimen hari ini.
Perhimpunan itu disertai beberapa pertubuhan termasuk Greenpeace dan gerakan Boycott, Divestment and Sanctions (BDS), yang menggesa ketelusan serta akauntabiliti lebih tinggi dalam rantaian bekalan unsur nadir bumi. - DagangNews.com








