KUALA LUMPUR 6 Julai – AMS Berhad disasar menjadi antara penerima manfaat utama kepesatan pelaburan kecerdasan buatan (AI) dan kitaran pertumbuhan baharu industri peralatan semikonduktor global.
Menurut Kenanga Research, syarikat berkenaan namun masih lagi perlu mengimbangi cabaran luaran seperti turun naik harga aluminium, serta kelembapan perbelanjaan peralatan fabrikasi wafer (WFE).
Firma penyelidikan itu berkata, perbelanjaan global bagi WFE di luar China dijangka berkembang 36% pada 2026 dipacu peningkatan pelaburan daripada pengeluar memori, dan pengendali pusat data (DC).
"Empat syarikat terbesar dunia dijangka meningkatkan perbelanjaan modal (capex) sebanyak 75% pada tahun ini, sebahagian besarnya bagi menyokong pembangunan infrastruktur AI," jelasnya dalam nota.
Ujar Kenanga Research, berdasarkan trend sejarah, setiap tambahan sebanyak AS$100 bilion (RM408 bilion) pelaburan yang berkaitan AI mampu menjana permintaan kira-kira AS$8 bilion (RM33.6 billion) bagi WFE.
Situasi itu katanya, mewujudkan peluang pertumbuhan dalam rantaian bekalan, termasuk AMS sendiri sebagai pembekal produk aluminium separa siap kepada syarikat kejuruteraan ketepatan semikonduktor.

Kumpulan tersebut tambahnya, dijangka menerima manfaat langsung daripada peningkatan permintaan bahan digunakan bagi pengeluaran peralatan pembuatan cip kerana kedudukan kukuh dalam ekosistem.
"AMS pula menguasai lebih 80% bahagian pasaran dalam kalangan pelanggan, disokong rangkaian produk aluminium secara luas serta keupayaan pemprosesan yang bernilai tambah," ujar Kenanga Research.
Sejak disenaraikan di bursa pada April 2026, AMS terus mengembangkan perniagaan semikonduktornya dengan sumbangan hasil daripada segmen itu dilaporkan meningkat dua kali ganda berbanding 2024.
Permintaan yang kukuh turut menyebabkan kemudahan pengeluarannya di Pulau Pinang ditempah penuh sehingga hujung tahun, manakala kilang di Johor dijangka mencapai kapasiti penuh pada akhir 2026.
Kenanga Research turut menjelaskan perniagaan berkaitan WFE menawarkan margin keuntungan besar dan keterlihatan tempahan, sekali gus memberikan profil pendapatan yang lebih stabil kepada syarikat.
"Selain itu, AMS meraih kelayakan daripada sebuah pengeluar utama kepingan aluminium global, dengan pengeluaran komersial dijangka membuka peluang pemerolehan pelanggan baharu," kata firma tersebut.
Justeru, ia menetapkan nilai saksama 62 sen sesaham berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (P/E) 19 kali unjuran pendapatan FY27, dan percaya penilaian semasa masih menarik. - DagangNews.com








