EXIM Bank bantu orang pekak melalui penganjuran karnival keusahawanan dan latihan perniagaan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

EXIM Bank bantu orang pekak melalui penganjuran karnival keusahawanan dan latihan perniagaan

Ketua Pegawai Operasi EXIM Bank Malaysia, Hasrin Abdul Rahim (kiri) bersama Pengarah Eksekutif MFD, Mohamad Sazali Shaari di majlis perasmian Karnival Keusahawanan Inisiatif Mawaddah
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 6 Julai – EXIM Bank bekerjasama dengan Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD) untuk memperkasa komuniti golongan itu dengan memberi tumpuan kepada pembangunan keusahawanan melalui Inisiatif Mawaddah.

 

Fokus utama kerjasama ini ialah membuka peluang kepada usahawan dalam kalangan orang pekak untuk memasarkan produk mereka melalui penganjuran Karnival Keusahawanan khas, yang menyediakan platform jualan secara terus kepada pelanggan.

 

Selain itu, program ini turut memberi pendedahan pasaran yang lebih luas kepada usahawan pekak merangkumi sektor makanan dan minuman, runcit, produk buatan tangan serta kecantikan yang membantu mereka meningkatkan jualan dan daya saing.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif EXIM Bank, Datuk Nurbayu Kasim Chang berkata usaha tersebut mencerminkan komitmen institusi kewangan itu dalam memastikan akses ekonomi yang lebih luas dan saksama kepada semua lapisan masyarakat.

 

Beliau berkata, pendekatan inklusif melalui Inisiatif Mawaddah penting bagi membolehkan usahawan daripada kumpulan sasar membina perniagaan mampan serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara secara berterusan.

 

“Program Mawaddah turut memberi tumpuan kepada pelaksanaan kerjasama strategik dalam pelbagai sektor termasuk halal, pendidikan kewangan, keusahawanan, bantuan kemanusiaan dan pembangunan komuniti,” katanya dalam satu kenyataan.

 

 

t

 

Antara rakan kolaborasi utama yang terlibat termasuk Perbadanan Pembangunan Halal (HDC), MyFundAction, Islamic Banking and Finance Institute Malaysia (IBFIM), Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur (KPBKL) serta Kolej Islam Teknologi Antarabangsa (KITAB) Pulau Pinang.

 

Tambahnya, EXIM Bank juga menyediakan sokongan dalam bentuk latihan keusahawanan dan bimbingan asas perniagaan bagi membantu peserta mengurus operasi dan mengembangkan perniagaan mereka dengan lebih berkesan.

 

Di samping itu, akses kepada rangkaian perniagaan dan peluang kolaborasi turut dibuka bagi memastikan usahawan pekak tidak ketinggalan dalam ekosistem keusahawanan negara.

 

Melalui pendekatan ini, EXIM Bank bukan sahaja memberi bantuan kewangan, tetapi membina laluan pasaran sebenar yang membolehkan komuniti orang pekak menjana pendapatan secara mampan dan berdikari.

 

Selain itu, EXIM Bank turut melaksanakan program literasi kewangan Islam bersama institusi pendidikan dan latihan bagi memperkukuh pengetahuan pengurusan kewangan dalam kalangan usahawan kecil dan sederhana.

 

Inisiatif Mawaddah juga merangkumi bantuan kebajikan seperti Program Santunan Kasih di Pusat Jagaan Mahmudah, Semenyih dan Pusat Jagaan Nur Hasanah, Beranang yang dianjurkan bersama Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), PUSPANITA Cawangan MITI serta Skuad Ihsan MADANI MITI. - DagangNews.com