KPJ Healthcare gerakkan 29 hospital sokong agenda KKM, sasar kesedaran awal kanser usus | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KPJ Healthcare gerakkan 29 hospital sokong agenda KKM, sasar kesedaran awal kanser usus

CHIN Keat Chyuan ketika berucap pada pelancaran kempen 'Digestive Care 4 Life' di Kuala Lumpur hari ini. - DagangNews.com / Amree Ahmad
Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 18 JunKPJ Healthcare Berhad menyokong agenda Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui penglibatan 29 daripada 30 hospitalnya di seluruh negara dalam inisiatif saringan awal.

 

Presiden dan Pengarah Urusan kumpulan tersebut, Chin Keat Chyuan berkata, langkah ini bertujuan memastikan akses saringan secara lebih meluas kepada masyarakat, merangkumi pelbagai wilayah.

 

Menurutnya, penglibatan kumpulan penjagaan kesihatan sektor swasta ini diinspirasikan oleh visi Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad yang menekankan pendekatan bersifat pencegahan.

 

"Kesihatan pencernaan adalah isu yang sangat kritikal kerana kanser kolorektal atau usus kini merupakan kedua paling tinggi di Malaysia, dengan meliputi 14.2% daripada keseluruhan kes kanser," katanya.

 

Artikel berkaitan: KPJ Healthcare lancar kempen 'Digestive Care 4 Life', sediakan 500 saringan percuma pesakit awam

 

KPJ_DagangNews2026
DZULKEFLY Ahmad (tengah) diiringi Chin Keat Chyuan (kiri) pada pelancaran kempen 'Digestive Care 4 Life' di Kuala Lumpur hari ini. - DagangNews.com / Amree Ahmad


 

Keat Chyuan berkata demikian pada sidang akhbar selepas perasmian Kempen 'Digestive Care 4 Life' oleh menteri tersebut dan turut mengumumkan kerjasama dengan dua badan golongan cacat pendengaran.

 

Ujarnya, bagi setiap 100,000 rakyat Malaysia, seramai 19 lelaki dan 14 wanita berisiko didiagnosis dengan penyakit ini yang melibatkan kolon atau usus besar serta  bahagian hujung usus dirujuk sebagai rektum.

 

Bagaimanapun beliau menegaskan kanser kolorektal sebenarnya masih lagi boleh dirawat dengan lebih baik sekiranya dapat dikesan pada peringkat awal sebelum merebak kepada tahap tiga atau empat.

 

"Justeru sebagai permulaan, KPJ Healthcare mengadakan kerjasama dengan KKM melibatkan 500 saringan awal dengan kesediaan untuk meneruskan inisiatif tersebut demi manfaat rakyat," kata Keat Chyuan.

 

KPJ_DagangNews2026
DZULKEFLY Ahmad (tengah) pada sidang akhbar bersama-sama Chin Keat Chyuan (kiri) selepas pelancaran kempen 'Digestive Care 4 Life' di Kuala Lumpur hari ini. - DagangNews.com / Amree Ahmad

 

Sementara itu, Duzlkefly memuji penglibatan kumpulan tersebut dalam membantu peralihan sistem kesihatan negara daripada berorientasikan rawatan penyakit kepada penjagaan kesihatan yang mampan.

 

Beliau turut menekankan yang kunci utama terhadap aspek kelestarian sistem kesihatan negara adalah pemerkasaan saringan awal bagi mengurangkan beban penyakit tidak berjangkit (NCD) oleh penduduk.

 

Jelasnya, melalui skim Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan (NHSI) dan PekaB40, hampir dua juta rakyat sudah dapat disaring bagi pelbagai penyakit termasuk kanser payudara, serviks, dan prostat.

 

"Malangnya, banyak diagnosis kanser hanya apabila sudah berada di tahap tiga dan empat, sedangkan jika dikesan lebih awal, prognosis adalah jauh lebih baik untuk rawatan lanjut," ujar Dzulkefly.

 

Rakyat juga diingatkan untuk membudayakan gaya hidup sihat menerusi amalan pengurangan pengambilan gula dan garam, berhenti merokok, serta meninggalkan gaya hidup tidak aktif. - DagangNews.com