Keuntungan sektor minyak dan gas dijangka memuncak 2Q26, MISC kekal pilihan utama RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Keuntungan sektor minyak dan gas dijangka memuncak 2Q26, MISC kekal pilihan utama RHB Research

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 18 Jun - Keuntungan bersih bagi sektor berkaitan minyak dan gas dijangka mencapai kemuncak pada suku kedua 2026 (2Q26) sebelum kembali normal secara berperingkat pada separuh kedua 2026 (2H26), menurut RHB Research.

 

Firma penyelidikan itu berkata, peningkatan itu dipacu oleh harga minyak mentah dan petrokimia yang lebih tinggi susulan gangguan bekalan di Timur Tengah, sekali gus menyokong margin produk serta prestasi pendapatan beberapa syarikat di bawah liputan sektor.

 

Bagaimanapun, mereka menjelaskan momentum kenaikan ini dijangka beransur reda apabila ketegangan geopolitik semakin surut, harga urea kembali ke paras sebelum konflik, serta rantaian bekalan global kembali stabil dengan kapasiti pengeluaran dimulakan semula.

 

Selain itu, penurunan premium risiko turut dijangka menyumbang kepada proses normalisasi pendapatan.

 

"Sehubungan itu, 2Q26 dilihat sebagai kemuncak prestasi kewangan bagi tahun kewangan 2026 sebelum trend pendapatan kembali stabil secara berperingkat pada separuh kedua tahun tersebut," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Dalam pada itu, MISC terus menjadi pilihan utama RHB Research dalam sektor berkenaan, disokong oleh struktur pendapatan yang defensif dengan sebahagian besar armadanya berasaskan kontrak jangka panjang yang memberikan keterlihatan pendapatan yang kukuh.

 

Selain itu, pendedahan sekitar 35 peratus kepada pasaran spot dalam segmen petroleum dilihat memberi potensi kenaikan tambahan, khususnya daripada kadar sewaan kapal tangki yang lebih kukuh.

 

Walaupun ketegangan di Timur Tengah menunjukkan tanda-tanda reda, kadar kapal tangki dijangka kekal disokong oleh permintaan “tonne-mile” yang sihat serta kekangan bekalan kapal yang ketat.

 

Bagaimanapun, risiko penurunan terhadap wajaran sektor masih wujud, termasuk kelemahan harga minyak dan permintaan global serta pengurangan perbelanjaan daripada pelanggan industri. 

 

Perjanjian Damai AS–Iran

RHB research berkata, perjanjian damai antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran dilihat telah meredakan kebimbangan segera terhadap gangguan bekalan minyak di Timur Tengah yang berpanjangan, namun harga minyak mentah tidak dijangka kembali serta-merta ke paras sebelum konflik.

 

Menurutnya, kerja-kerja pembaikan infrastruktur yang terjejas, pemulihan kapasiti secara berperingkat, serta proses normalisasi rantaian bekalan global dijangka terus menyokong harga minyak dalam tempoh terdekat.

 

Walaupun harga minyak mentah Brent telah susut daripada paras tertinggi baru-baru ini, harga dijangka kekal stabil dan disokong pada sekitar AS$80 setong sebelum beransur-ansur kembali normal seiring pemulihan bekalan global.

 

Dalam pada itu, unjuran harga minyak bagi 2026 hingga 2027 dikekalkan tidak berubah pada AS$82.50 setong dan AS$72 setong, mencerminkan pandangan bahawa pasaran akan kembali stabil dalam jangka sederhana walaupun risiko geopolitik semakin reda. - DagangNews.com