AKPK lantik Azman Hasim sebagai CEO baharu berkuat kuasa 18 Jun 2026 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

AKPK lantik Azman Hasim sebagai CEO baharu berkuat kuasa 18 Jun 2026

Azman Hasim
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 18 Jun – Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) melantik Azman Hasim sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu berkuat kuasa 18 Jun 2026.

 

Pelantikan ini dibuat selepas jawatan tersebut kosong susulan persaraan CEO terdahulu, Azaddin Ngah Tasir yang sebelum ini menerajui agensi berkenaan.

 

Sebelum dilantik secara rasmi, Azman telah memegang jawatan Pemangku CEO sejak 1 Januari 2026 bagi memastikan operasi dan hala tuju AKPK terus berjalan lancar.

 

Sepanjang tempoh itu, beliau bertanggungjawab memastikan kesinambungan dasar serta pelaksanaan program utama agensi tanpa sebarang gangguan.

 

Azman memiliki pengalaman lebih tiga dekad dalam sektor perkhidmatan kewangan serta hampir 20 tahun berkhidmat bersama AKPK sendiri.

 

Beliau juga mempunyai kelayakan profesional sebagai Akauntan Bertauliah (ACCA) serta ahli Institut Akauntan Malaysia.

 

Selain itu, beliau turut berdaftar sebagai perancang kewangan Islam di bawah Majlis Perancangan Kewangan Malaysia.

 

Dalam peranan baharunya, Azman akan memberi tumpuan kepada pengukuhan keupayaan kewangan rakyat, memperluas akses kepada perkhidmatan kaunseling serta pengurusan hutang dan mempertingkatkan jangkauan kepada komuniti yang kurang mendapat perhatian.

 

Sementara itu, Pengerusi AKPK, Fauziah Hisham berkata pelantikan Azman adalah tepat memandangkan pengalaman luas, pandangan strategik serta pemahaman mendalam beliau terhadap peranan agensi tersebut.

 

“AKPK yakin Azman mampu meneruskan hala tuju organisasi dengan lebih berkesan serta memperkukuh impak perkhidmatan kepada masyarakat,” katanya.

 

Pelantikan ini dijangka memberi kesinambungan kepada usaha AKPK dalam membantu rakyat mengurus kewangan dan mengurangkan beban hutang secara lebih tersusun dan berkesan. - DagangNews.com