KPJ Healthcare lancar kempen 'Digestive Care 4 Life', sediakan 500 saringan percuma pesakit awam | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KPJ Healthcare lancar kempen 'Digestive Care 4 Life', sediakan 500 saringan percuma pesakit awam

DZULKEFLY Ahmad (tengah) diiringi Chin Keat Chyuan bergambar pada pelancaran kempen 'Digestive Care 4 Life' di Kuala Lumpur hari ini. - DagangNews.com / Amree Ahmad
Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 18 JunKPJ Healthcare Berhad mengukuhkan komitmennya terhadap kesihatan awam dengan melancarkan kempen nasional 'Digestive Care 4 Life' bagi pencegahan penyakit sistem pencernaan.

 

Menerusi usaha ini, ia memperuntukkan 500 saringan secara percuma kepada pesakit awam yang dirujuk oleh fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ke mana-mana hospital KPJ di seluruh negara.

 

Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare, Chin Keat Chyuan berkata, inisiatif ini merupakan sebahagian komitmen 'Care for Life' kumpulan itu meningkatkan kesihatan masyarakat melalui intervensi awal.

 

"Kami mendapati banyak penyakit sistem pencernaan di Malaysia, termasuk kanser, sebenarnya boleh dirawat lebih baik jika dapat dikesan awal sebelum tahap kritikal," jelasnya pada sidang akhbar.

 

Terdahulu beliau mengiringi Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad melancarkan kempen itu dan mengumumkan kerjasama khas kumpulan tersebut dengan dua badan golongan cacat pendengaran.


 

KPJ_DagangNews2026
CHIN Keat Chyuan (kiri) ketika bercakap pada sidang akhbar bersama-sama Dzulkefly Ahmad (tengah) selepas pelancaran kempen 'Digestive Care 4 Life' di Kuala Lumpur hari ini. - DagangNews.com / Amree Ahmad


 

Ujar Keat Chyuan, inisiatif itu melibatkan Persekutuan Orang Pekak Malaysia dan Persatuan Advokasi Pendengaran Malaysia (Hear Me Malaysia) yang menawarkan 100 saringan percuma kepada komuniti ini.

 

Inisiatif tersebut tambah beliau, bertujuan memastikan akses kesihatan inklusif dan saksama bagi semua lapisan masyarakat kerana faktor kekangan seperti kos, serta tahap kesedaran yang rendah.

 

"Situasi ini dikenal pasti KPJ Healthcare, antara punca kecenderungan pesakit untuk menangguhkan pemeriksaan, dan sering menjadi halangan bagi individu mendapatkan penilaian kesihatan," jelasnya.

 

Pada masa sama kata Keat Chyuan, kempen 'Digestive Care 4 Life' memastikan golongan yang kurang mendapat akses maklumat kesihatan tidak terpinggir daripada menerima diagnosis tepat pada masanya.

 

Langkah proaktif ini diharap dapat menggalakkan ramai rakyat untuk mengambil tanggungjawab dalam penjagaan kesihatan sistem pencernaan sebelum masalah menjadi lebih serius dan sukar dirawat.


 

KPJ_DagangNews2026
DZULKEFLY Ahmad ketika berucap pada pelancaran kempen 'Digestive Care 4 Life' di Kuala Lumpur hari ini. - DagangNews.com / Amree Ahmad


 

Sementara itu, Dzulkefly menyifatkan kerjasama ini sebagai model Rakan Strategik Awam-Swasta (PPP) yang bermakna dengan langkah KPJ Healthcare membantu menyerap beban klinikal di hospital kerajaan.

 

"Usaha ini mempercepatkan proses diagnosis pesakit yang memerlukan, kerana kes kanser kolorektal disifatkan sebagai 'musuh senyap' akibat gaya hidup moden dan pemakanan tidak sihat," tambahnya.

 

Sebagai sokongan kepada agenda pencegahan, KKM melalui Belanjawan 2026 memperuntukkan RM80 juta untuk program saringan kesihatan terhadap golongan berpendapatan rendah yang dikenali PeKa B40.

 

Kerajaan juga jelas Dzulkefly, menyediakan tambahan RM10 juta untuk Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan (NHSI) yang menyasarkan dua juta rakyat Malaysia dapat menjalani pemeriksaan tahun ini.

 

Rakyat Malaysia yang berkelayakan kata beliau, digesa untuk segera memanfaatkan peluang itu, dan tidak menunggu sehingga simptom bahaya muncul sebelum melaksanakan pemeriksaan.

 

Maklumat lanjut mengenai kempen 'Digestive Care 4 Life' ditawarkan KPJ Healthcare boleh didapati menerusi laman web rasmi kumpulan itu di www.kpjhealth.com.my. - DagangNews.com