Keuntungan Eckem diunjur berkembang 10.1% setahun selepas IPO, Malacca Securities nilai saham pada 14 sen | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Keuntungan Eckem diunjur berkembang 10.1% setahun selepas IPO, Malacca Securities nilai saham pada 14 sen

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 18 Jun – Eckem Holdings Bhd dijangka mencatat pertumbuhan keuntungan yang mampan dalam tempoh tiga tahun akan datang disokong oleh pengembangan pasaran di dalam dan luar negara serta peningkatan kapasiti pengeluaran produk getah.

 

Malacca Securities mengunjurkan keuntungan bersih yang boleh diagihkan kepada pemegang saham (PATMI) syarikat itu berkembang pada kadar purata tahunan (CAGR) sebanyak 10.1% dengan keuntungan diunjurkan mencecah antara RM5 juta hingga RM6 juta dalam tempoh berkenaan.

 

Firma penyelidikan itu turut menetapkan nilai saksama saham Eckem pada 14 sen sesaham, mewakili potensi kenaikan sebanyak 16.7% berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) syarikat sebanyak 12 sen sesaham.

 

Eckem yang bakal disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 3 Julai 2026 adalah syarikat pegangan pelaburan yang terlibat dalam pengedaran, jualan dan formulasi bahan kimia industri khusus serta pembuatan dan perdagangan produk getah.

 

Menurut Malacca Securities, segmen bahan kimia industri khusus menyumbang 92.5% daripada hasil syarikat pada tahun kewangan 2025 dan menawarkan portfolio yang pelbagai merangkumi 310 produk termasuk resin, pigmen, pengisi dan bahan tambahan.

 

“Syarikat itu juga mempunyai rangkaian pengedaran kukuh bagi beberapa jenama bahan kimia antarabangsa termasuk BASF, Worlee, Wacker, Lanxess, Ingevity, IGM dan BLJ, manakala tumpuannya terhadap bahan kimia industri khusus membolehkan syarikat mengekalkan margin keuntungan yang lebih tinggi berbanding pengeluar bahan kimia komoditi.

 

“Selain itu, segmen pembuatan produk getah syarikat dilihat mempunyai prospek pertumbuhan yang baik apabila Eckem merancang membina barisan pengeluaran kedua di Rawang yang akan menggandakan kapasiti pengeluaran tahunan daripada 134 tan metrik kepada 268 tan metrik bermula tahun kewangan 2028 bagi memenuhi peningkatan permintaan eksport, khususnya dari China,” kata Malacca Securities dalam nota kajiannya.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Eckem Holdings sasar raih RM15 juta menerusi IPO di Pasaran ACE

 

Bagi tahun kewangan 2025, Eckem mencatat hasil sebanyak RM38.7 juta, susut 12% berbanding RM43.9 juta pada tahun sebelumnya manakala keuntungan bersih merosot 20.7% kepada RM4.5 juta susulan permintaan yang lebih lemah daripada industri cat, salutan dan pelekat serta penurunan tempahan produk getah.

 

Daripada hasil IPO berjumlah RM15 juta, sebanyak RM6 juta atau 40% akan digunakan bagi membina pejabat korporat, gudang dan makmal baharu di Selangor, RM2 juta untuk mengembangkan barisan pengeluaran produk getah, RM1.5 juta bagi membayar balik pinjaman bank, RM1.8 juta sebagai modal kerja dan RM3.8 juta bagi menampung kos penyenaraian.

 

Malacca Securities menjangkakan profil hutang syarikat akan bertambah baik selepas penyenaraian, dengan nisbah penggearan bersih dijangka menurun kepada 0.2 kali berbanding 0.8 kali sebelum IPO.

 

Firma penyelidikan itu turut berpandangan penurunan harga minyak mentah global akan membantu mengurangkan tekanan kos bahan mentah memandangkan minyak mentah merupakan antara bahan asas utama dalam pengeluaran produk kimia industri khusus.

 

“Bagaimanapun, Eckem masih berdepan beberapa risiko termasuk kebergantungan yang tinggi kepada BASF yang menyumbang hampir 60% bekalan bahan kimia syarikat, selain permintaan yang sensitif terhadap kitaran sektor pembinaan, hartanah dan pembuatan di Malaysia serta Singapura,” katanya.

 

Malacca Securities turut menyatakan syarikat tidak mempunyai kontrak jangka panjang dengan pelanggan dan banyak bergantung kepada pesanan pembelian semasa, menjadikan prestasi pendapatan lebih terdedah kepada turun naik permintaan pasaran. - DagangNews.com