BDB Land bangunkan pusat pembangunan komersial baharu bernilai RM41.5 juta di Jitra | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

BDB Land bangunkan pusat pembangunan komersial baharu bernilai RM41.5 juta di Jitra

Ilustrasi projek Darulaman Commercial District apabila siap kelak
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 18 Jun – BDB Land Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Bina Darulaman Berhad melancarkan pembangunan pusat komersial baharu dikenali sebagai Darulaman Commercial District (DCD) di Bandar Darulaman, Jitra dengan nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM41.5 juta.

 

Projek itu dibangunkan di atas tanah seluas 2.03 hektar (5.01 ekar) dan dijangka menjadi antara pemangkin baharu kepada pertumbuhan aktiviti ekonomi serta pembangunan bandar di kawasan utara Kedah.

 

Darulaman Commercial District (DCD) akan menampilkan 45 unit bangunan kedai pejabat dua dan tiga tingkat serta sebuah bangunan pejabat korporat baharu milik BDB Land sebagai sebahagian komponen utama projek tersebut.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BDB, Che Abdul Khalid Md Din berkata pembangunan ini direka bagi memenuhi keperluan semasa perniagaan selain menyokong pertumbuhan jangka panjang komuniti setempat.

 

Beliau berkata, lokasi projek yang strategik berhampiran Lebuhraya Utara–Selatan (PLUS) memberikan kelebihan besar dari segi aksesibiliti, mobiliti serta kecekapan logistik perniagaan.

 

“Selain itu, kedudukan projek yang berdekatan Darulaman Golf & Country Club (DGCC), Tasik Darulaman Park serta Taman Tema Air Fantasia Aquapark turut meningkatkan daya tarikan serta potensi limpahan ekonomi kawasan tersebut.

 

“Gabungan komponen perumahan, komersial, rekreasi dan pelancongan di kawasan ini akan membentuk satu ekosistem pembangunan yang lebih menyeluruh dan saling melengkapi,” katanya dalam satu kenyataan.

 

t
Che Abdul Khalid Md Din

 

Bandar Darulaman yang berkeluasan sekitar 2,200 ekar ketika ini menempatkan lebih 5,000 unit kediaman serta pelbagai komponen pembangunan bercampur yang telah dan sedang dilaksanakan.

 

Pembangunan DCD akan memperkukuhkan lagi kedudukan Bandar Darulaman sebagai salah satu pusat pertumbuhan ekonomi utama di wilayah utara yang semakin berkembang pesat.

 

Projek ini juga direka sebagai ruang komersial moden dan lebih tersusun bagi menyokong aktiviti perniagaan seperti peruncitan, perkhidmatan serta keusahawanan tempatan dalam jangka panjang.

 

BDB Land turut menekankan bahawa pembangunan ini mengambil kira prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) bagi memastikan impak jangka panjang kepada nilai hartanah serta kesejahteraan komuniti.

 

Pendekatan tersebut turut memberi fokus kepada pembangunan bandar yang lebih berdaya huni, seimbang serta menyokong pertumbuhan ekonomi mampan untuk generasi akan datang.

 

Setakat ini, kerja-kerja awal projek telah pun dimulakan melibatkan pembersihan tapak dan penyediaan tanah sebagai persediaan sebelum memasuki fasa pembinaan utama. - DagangNews.com