KUALA LUMPUR 18 Jun —- Top Glove Corporation Bhd (Top Glove) mencatatkan peningkatan lebih dua kali ganda dalam keuntungan bersih bagi suku ketiga berakhir 31 Mei 2026 (3QFY2026) kepada RM80.99 juta berbanding RM34.75 juta yang direkodkan dalam tempoh sama tahun lalu.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, pengeluar sarung tangan itu berkata prestasi lebih kukuh tersebut didorong oleh peningkatan jumlah jualan, pelarasan harga jualan purata (ASP) serta kecekapan kos operasi yang berterusan.
Hasil bagi suku berkenaan turut meningkat 31.9% kepada RM1.10 bilion berbanding RM830.25 juta setahun lalu, sejajar dengan pertumbuhan permintaan dan peningkatan jumlah penghantaran produk ke pasaran global.
Pendapatan sesaham asas (EPS) meningkat kepada 1.01 sen berbanding 0.43 sen yang dicatatkan pada suku yang sama tahun sebelumnya.
Sementara itu dalam kenyataan berasigan, Top Glove memberitahu keuntungan selepas cukai bagi tempoh sembilan bulan berakhir 31 Mei 2026 (9MFY2026), meningkat 64% kepada RM151 juta berbanding tempoh sama tahun lalu.
Syarikat mencatatkan hasil sebanyak RM3 bilion bagi tempoh tersebut, meningkat 15% tahun ke tahun, manakala jumlah jualan bertambah 34%.
Pengurusan Berhemat Bahan Mentah
Top Glove berkata, prestasi berkenaan disokong oleh pengurusan bahan mentah yang berhemat, khususnya dalam memastikan bekalan lateks nitril kekal stabil ketika berlaku gangguan bekalan baru-baru ini.
Menurutnya, langkah itu membolehkan operasi pengeluaran sarung tangan berjalan lancar tanpa gangguan serta memastikan penghantaran tempahan kepada pelanggan dapat dipenuhi mengikut jadual.
Selain itu, pelarasan harga jualan purata (ASP) yang dilaksanakan selaras dengan peningkatan kos bahan mentah turut membantu mengekalkan margin keuntungan kumpulan.
Prestasi tersebut turut diperkukuh menerusi pelaksanaan pelbagai inisiatif penambahbaikan operasi yang memberi tumpuan kepada peningkatan kualiti produk dan kecekapan kos, selain kadar penggunaan kapasiti yang kekal tinggi.
Pengerusi Eksekutif Top Glove, Tan Sri Dr Lim Wee Chai berkata, prestasi kukuh yang dicapai pada suku ketiga tahun kewangan 2026 mencerminkan keberkesanan usaha berterusan kumpulan dalam memperkukuh asas operasinya.
“Prestasi stabil kami bagi 3QFY2026 didorong oleh usaha berterusan untuk memperkukuh asas operasi syarikat.
“Kami menghargai pemahaman serta sokongan berterusan pelanggan sepanjang tempoh ini, di samping kerjasama erat pasukan kami dengan pembekal dan usaha proaktif mendapatkan sumber bekalan bagi memastikan pengeluaran serta penghantaran sarung tangan tidak terganggu,” katanya.
Beliau berkata, inisiatif penambahbaikan berterusan dalam aspek kualiti dan pengurusan kos turut membantu meningkatkan daya tahan kumpulan dalam berdepan perubahan persekitaran pasaran.
Prestasi terkini itu menunjukkan Top Glove terus berada di landasan pemulihan yang kukuh selepas industri sarung tangan berdepan cabaran ketidakseimbangan bekalan dan permintaan pasca pandemik, dengan pertumbuhan jumlah jualan dan keuntungan yang semakin mengukuhkan kedudukan kewangan kumpulan. — DagangNews.com








