KPJ dan IHH terus catat skor ESG atas purata, namun isu gender perlu ditambah baik – Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KPJ dan IHH terus catat skor ESG atas purata, namun isu gender perlu ditambah baik – Maybank IB

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 20 Feb – Penarafan skor amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) bagi dua pengendali hospital utama negara ini kekal melebihi purata industri, kata Maybank Investment Bank.


Bagaimanapun, firma tersebut menilai isu komposisi wanita dalam lembaga pengarah serta ketelusan pendedahan sasaran sosial dan tadbir urus dikenal pasti sebagai ruang penambahbaikan yang utama.


Semakan terbaharu ESG bagi sektor penjagaan kesihatan menunjukkan kedua-dua IHH Healthcare Berhad dan KPJ Healthcare Berhad mencatat skor melebihi purata berdasarkan metodologi khas firma itu.


"Walaupun keputusan keseluruhan bercampur bagi tahun kewangan 2024, kami mengekalkan saranan 'beli' ke atas dua operator ini, tetapi menetapkan harga sasaran (TP) yang berbeza," kata nota Maybank IB.


KPJ menerima TP RM3.00 berbanding harga semasa RM2.80 manakala IHH pula TP RM9.48 daripada harga semasa RM8.91, dengan setakat ini tiada kesan ketara terhadap harga saham susulan skor ESG mereka.


Berdasarkan penilaian firma itu, KPJ mencatat pengurangan sedikit skor keseluruhan kepada 60 mata berbanding 67 sebelum ini, walaupun skor kuantitatif pula meningkat kepada 47/100 daripada 42/100.


Peningkatan itu disokong inisiatif tenaga boleh diperbaharui (RE) termasuk pemasangan panel solar serta perluasan 25 akaun KPJ di bawah program Green Energy Tariff (GET) oleh Tenaga Nasional Berhad.


Situasi ini jelas Maybank IB, sekali gus meningkatkan sumbangan RE kepada 28% berbanding 7% sebelum ini, namun masih kekurangan pendedahan dalam segmen sasaran menyebabkan skor merosot.


"Dari sudut sosial dan tadbir urus, 20% ahli lembaga KPJ terdiri wanita, manakala komposisi pengarah bebas pula 40%, serta belum memenuhi sasaran masing-masing minimum 30% dan 50%," katanya.


Sementara IHH mencatat peningkatan skor ESG keseluruhan kepada 69 mata daripada 66 sebelum ini, dipacu penambahbaikan dalam parameter kualitatif kepada 100/100 serta skor sasaran kepada 83/100.


Keadaan ini kata Maybank IB, susulan penerimaan piawaian pelaporan IFRS S1 dan S2 selaras dengan keperluan yang dipertingkatkan oleh Bursa Malaysia, serta pencapaian dalam tiga sasaran utama.


Ini termasuk pengurangan lebih 90% penggunaan plastik pakai buang, pengurangan intensiti pelepasan gas rumah hijau (GHG), dan peningkatan 14% kumpulan jururawat global yang melebihi paras asas.


"Dari sudut kuantitatif, IHH didapati turut merekodkan usaha penambahbaikan positif dalam kadar intensiti penggunaan karbon dan air bagi setiap katil pesakit," kata firma penyelidikan tersebut.


Bagaimanapun, Maybank IB melihat ruang penambahbaikan dalam komposisi wanita di lembaga pengarah kumpulan itu yang hanya 27%, selain kekurangan pendedahan berkaitan skor Net Promoter Score (NPS).


Secara keseluruhan, firma itu memuji inisiatif komuniti dibuat kedua-dua syarikat tersebut seperti program klinik bergerak dan pusat dialisis oleh KPJ, serta sesi rawatan kanser percuma oleh IHH.


Sektor penjagaan kesihatan kekal defensif dengan profil ESG baik, namun penambahbaikan dalam aspek kepelbagaian lembaga dan ketelusan pendedahan dijangka menjadi tumpuan pelabur. - DagangNews.com