KIP REIT bersama Aeon perluaskan Aeon Mall Kinta City di Ipoh melibatkan kos RM160 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KIP REIT bersama Aeon perluaskan Aeon Mall Kinta City di Ipoh melibatkan kos RM160 juta

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 13 Feb – Pemegang amanah KIP Real Estate Investment Trust (REIT), Pacific Trustees Berhad dan Aeon Co (M) Berhad memperluaskan Aeon Mall Kinta City melibatkan kos RM160 juta.


Projek tersebut hasil pemeteraian perjanjian dengan KIP REIT akan membiayai sepenuhnya pembangunan pusat beli-belah di Ipoh, Perak itu sebagai sebahagian daripada inisiatif peningkatan aset syarikat.


Menurut kenyataan bersama hari ini, pembangunan berkenaan  disasarkan siap dan dibuka kepada umum menjelang suku keempat 2027, dan dijangka menjana kadar hasil sekitar 8% kepada KIP REIT sendiri.

 

 

 

 

 


"Angka unjuran tersebut bersamaan dengan anggaran pendapatan sewaan kasar tahunan kira-kira RM12.8 juta di bawah perjanjian pajakan tempoh jangka panjang bersama-sama pengurusan Aeon," katanya.


Sebagai sebahagian komitmen itu, Aeon turut melanjutkan tempoh pajakan selama 25 tahun bermula 29 September 2030 hingga 28 September 2055, dan mengukuh keterlihatan hasil jangka panjang KIP REIT.


Tambah kenyataan tersebut, projek perluasan kawasan kompleks berkenaan akan meningkatkan jumlah keluasan boleh sewa Aeon daripada kira-kira 49,238 meter persegi kepada 62,709 meter persegi, 


Semenara keluasan boleh sewa bersih (NLA) pusat beli-belah itu katanya, dijangka berkembang 30% kepada sekitar 53,833 meter persegi berbanding hanya seluas 41,806 meter persegi pada ketika ini.


"Pembangunan itu turut meliputi penambahbaikan campuran penyewa, serta kemudahan serta susun atur bagi mengukuh daya tarikan pengunjung, kecekapan operasi dan kemampanan aset berkenaan," jelasnya.


Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Pengurus KIP REIT, Valerie Ong berkata, Aeon Mall Kinta City yang hampir tiga dekad beroperasi itu akan kekal sebagai destinasi runcit utama di bandar raya Ipoh.


Kompleks perniagaan yang dibuka sejak 1997 dengan asalnya dikenali sebagai Kinta City Shopping Centre itu mempunyai kedudukan strategik dalam kawasan perbandaran matang serta berpenduduk padat.


Menurut beliau, peluasan berkenaan bukan sekadar menambah ruang, sebaliknya usaha bersama dalam menjenamakan semula pengalaman runcit agar kekal relevan dan bersedia menghadapi masa depan.

 

 

 

 

 


Sementara itu, Pengarah Urusan Aeon, Naoya Okada berkata, kerjasama ini mencerminkan komitmen jangka panjang syarikat berkembang di pasaran serantau utama serta keyakinan terhadap prospek.


Majlis penandatanganan perjanjian tersebut berlangsung di Aeon Mall Taman Maluri, Cheras, Kuala Lumpur dengan disaksikan oleh pengurusan kanan kedua-dua pihak. - DagangNews.com