Keyfield peroleh 8 kontrak sewa kapal AWB, AHTS berjumlah RM162 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Keyfield peroleh 8 kontrak sewa kapal AWB, AHTS berjumlah RM162 juta

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 16 Mac – Keyfield International Berhad memperoleh lapan kontrak sewa kapal bernilai kira-kira RM162 juta, dengan potensi nilai keseluruhan sehingga RM246 juta termasuk pilihan lanjutan kontrak.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Keyfield berkata daripada 8 kontrak tersebut, 7 melibatkan kapal  kerja penginapan (AWB)) dan satu kapal tunda & pengendali sauh (AHTS).

 

“Ia disewakan kepada pelbagai kontraktor petroleum dan kontraktor minyak dan gas di Malaysia, Qatar, Emiriah Arab Bersatu dan Thailand.

 

“Daripada 8 kontrak tersebut, 7 dijangka bermula pada separuh pertama 2026 manakala satu lagi dijadualkan bermula pada awal 2027,” kata Keyfield dalam makluman tersebut.

 

Tempoh kontrak tetap antara dua bulan hingga setahun dengan pilihan lanjutan antara sebulan hingga setahun, membolehkan Keyfield meningkatkan ketelusan pendapatan bagi tahun kewangan akan datang.

 

Pengurus Besar dan Ketua Pegawai Eksekutif Keyfield, Datuk Darren Kee Chit Huei berkata kontrak-kontrak ini mencerminkan kemampuan operasi syarikat yang kukuh dan kebolehpercayaan asset kapalnya.

 

“Kontrak ini mengukuhkan kedudukan Keyfield sebagai penyedia perkhidmatan marin luar pesisir yang dipercayai dan menunjukkan permintaan tinggi terhadap AWB kami di rantau ini,” katanya.

 

Keyfield menyediakan pelbagai perkhidmatan sokongan di laut termasuk penginapan, katering, dobi, dan perkhidmatan perubatan bagi kapal dan projek luar pesisir.

 

Armada syarikat kini terdiri daripada 14 kapal dengan kapasiti penginapan antara 50 hingga 500 orang, dilengkapi kemudahan seperti bilik persidangan, pejabat, dewan makan, gimnasium dan sambungan internet VSAT.

 

Syarikat ini telah mendapat lesen daripada PETRONAS sejak 2018 dan menjadi kontraktor panel kepada PETRONAS Carigali Sdn Bhd (PCSB) serta kontraktor petroleum lain. Ini membolehkan Keyfield terus menyertai tender AWB, AHTS dan PSV.

 

Selain menggunakan armada sendiri, Keyfield juga menawarkan kapal pihak ketiga untuk memenuhi permintaan pelanggan, termasuk PCSB, Sarawak Shell Berhad, PTTEP, Helms Geomarine dan kontraktor minyak dan gas lain.

 

Kontrak-kontrak yang diperoleh dijangka memberi kesan positif kepada keuntungan dan aset bersih Keyfield bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026 dan 2027.

 

Kejayaan ini menunjukkan syarikat masih mampu mendapatkan kontrak walaupun pasaran kapal sokongan luar pesisir dipengaruhi ketidaktentuan industri minyak dan gas global. - DagangNews.com