KUALA LUMPUR 16 Feb – Aeon Co. (M) Berhad diyakini akan memperkukuh kedudukan operasi dan aliran tunainya melalui projek perluasan AEON Mall Kinta City yang dijangka siap pada 2027, memberi kepastian strategi syarikat untuk jangka masa panjang, menurut MBSB Research.
Projek pembesaran ini akan dijalankan sepenuhnya oleh KIP REIT dengan pelaburan sebanyak RM160 juta dan dijangka menambah jumlah ruang sewaan sebanyak 27 peratus kepada 675 ribu kaki persegi.
Ruang yang boleh disewa (NLA) pula dijangka meningkat sebanyak 30 peratus kepada 580 ribu kaki persegi, menjadikan pasaraya itu lebih luas, moden, dan mampu menampung lebih banyak penyewa.
Firma penyelidikan itu berkata projek yang disasarkan siap pada suku keempat 2027 itu membolehkan AEON mengekalkan daya saing dan memperluas operasi tanpa perlu menanggung kos pembangunan sendiri sebanyak RM160 juta.
“Sebagai pertukaran kepada projek ini, AEON bersetuju melanjutkan pajakan dari September 2030 ke September 2055, merangkumi premis sedia ada dan kawasan baharu.
“Ini akan memberi kestabilan jangka panjang untuk operasi mereka di Kinta City dan kesan positif kepada segmen Property Management Services AEON, kerana peningkatan NLA sebanyak 30 peratus membolehkan syarikat menawarkan lebih banyak ruang sewaan, meningkatkan pendapatan sewa asas dan memberi ruang untuk mengoptimumkan susunan penyewa,” kata MBSB Research dalam nota kajiannya.
Selain itu, pusat beli-belah yang akan diperbesarkan itu dijangka menarik penyewa baharu dan mengekalkan penyewa sedia ada, sekali gus menyokong kestabilan dan pertumbuhan pendapatan jangka panjang AEON.
MBSB Research berkata walaupun AEON tidak menanggung kos pembangunan sendiri, syarikat itu masih akan mengekalkan pajakan sehingga 2055.
“Pajakan ini akan dicatatkan sebagai aset hak guna dan liabiliti pajakan, meningkatkan obligasi tetap tetapi memberi gambaran kewangan yang jelas.
“Kesan terhadap keuntungan sebenar dijangka mula dirasai pada tahun kewangan 2028, bergantung kepada kejayaan penyewaan dan permintaan dengan tempoh awal projek ini berfungsi lebih kepada memberi kepastian strategi dan meningkatkan keterlihatan jangka panjang AEON dalam pasaran hartanah,” kata firma tersebut.
MBSB Research berkata projek ini menyokong strategi AEON untuk mengekalkan pendapatan berulang dari segmen PMS, sambil memperkukuh kehadiran syarikat di Perak dan mengekalkan fleksibiliti kewangan melalui model pembiayaan REIT.
“Sehubungan itu, kami mengekalkan saranan Beli untuk saham AEON dengan sasaran harga tidak berubah pada RM1.66, berdasarkan nisbah PE 15.5 kali dan EPS FY25F sebanyak 10.7 sen.
“Dalam konteks pasaran runcit dan pengurusan hartanah, projek ini dilihat sebagai inisiatif positif yang membolehkan AEON meningkatkan skala operasi dan pendapatan sewa, sambil mengekalkan daya saing mall dan kestabilan aliran tunai,” kata MBSB Research. - DagangNews.com








