KUALA LUMPUR 13 Feb – Hong Seng Consolidated Berhad mencatatkan kerugian bersih mencecah RM48.55 juta bagi tempoh suku pertama tahun kewangan 2026 yang berakhir pada 31 Disember 2025.
Situasi tersebut sebahagian besarnya berpunca daripada kerugian pelupusan pelaburan lain berjumlah RM41.61 juta serta disebabkan kerugian nilai saksama ke atas pelaburan lain sebanyak RM1.20 juta.
Selain itu jelas kumpulan berkenaan, prestasi syarikat turut terjejas oleh kerugian kasar sebanyak RM4.56 juta daripada segmen sarung tangan dan perbelanjaan pentadbiran berjumlah RM1.77 juta.
"Bagi suku tersebut, kami merekodkan perolehan RM4.097 juta, disumbangkan terutamanya oleh segmen sarung tangan sebanyak RM2.63 juta iaitu 64.24%," kata Hong Seng kepada Bursa Malaysia hari ini.
Di samping itu, segmen perkhidmatan kewangan menyumbang sebanyak RM1.41 juta (34.29%), manakala segmen perkhidmatan kewangan kekal positif dengan menjana keuntungan kasar kira-kira RM1.40 juta.
Bagaimanapun jelasnya lagi, tiada angka perbandingan bagi tempoh yang sama pada tahun sebelumnya berikutan perubahan tarikh akhir tahun kewangan syarikat daripada 31 Mac kepada 30 September.
Mengenai prospek masa depan, Hong Seng menyatakan komitmen untuk meningkatkan kecekapan operasi pengeluaran sarung tangan getah asli melalui inisiatif pengoptimuman bagi menyokong pemulihan.
"Kumpulan ini juga menjangkakan bahagian perkhidmatan kewangan dapat terus memberikan pendapatan yang lebih stabil dengan aliran tunai secara sihat pada suku-suku akan datang," tambahnya.
Dalam perkembangan korporat, syarikat berkenaan sudah melengkapkan penempatan persendirian pada 30 Januari 2026 dengan mengumpul dana kasar sebanyak RM2.40 juta. - DagangNews.com








