KUALA LUMPUR 26 Sept - Kerajaan digesa mengembangkan insentif geran digital perniagaan, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), dalam Bajet 2025 menjelang Oktober ini bagi mempercepatkan penggunaan teknologi baharu dalam industri itu, kata GlobalData Technology.
Menurut pengalisis utama firma penyelidikan teknologi itu, Alfie Amir berkata kerajaan perlu mengekalkan usahanya untuk mempercepatkan penggunaan perkhidmatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), seperti pengkomputeran awan dan keselamatan siber, sambil meluaskan sokongan untuk merangkumi rangkaian teknologi dan industri yang lebih luas.
"Portfolio syarikat telekomunikasi kini sedang berkembang menawarkan perkhidmatan ICT seperti awan, pusat data, alat kerjasama, industri Internet Kebendaan (IoT) dan keselamatan siber kepada perusahaan.
"Bagaimanapun, permintaan dan penerimaan teknologi baharu oleh PKS di negara ini kekal rendah. Insentif atau geran ini boleh meningkatkan penerimaan dan seterusnya memacu perniagaan ICT perusahaan telekomunikasi," katanya kepada Bernama.
Alfie turut menekankan pengurangan halangan syarikat telekomunikasi untuk menggunakan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI) dan AI generatif, 5G dan 5G-Lanjutan, Rangkaian Akses Radio Maya (RAN) dan RAN terbuka, yang boleh mempercepatkan penggunaan digital dalam sektor tersebut.
Kata beliau, ini termasuk memanfaatkan teknologi baharu untuk operasi rangkaian, penglibatan pelanggan dan produktiviti dalaman.
"Ini boleh menjadi insentif kepada syarikat telekomunikas melaksanakan teknologi baharu atau memupuk kerjasama industri untuk memacu ekosistem, membolehkan syarikat telekomunikasi meningkatkan kecekapan operasi dan penambah baikan tawaran perkhidmatan mereka.
"Ia adalah penting berikutan peningkatan tekanan margin yang dihadapi syarikat telekomunikasi akibat pasaran yang matang dan kos operasi yang lebih tinggi berpunca daripada faktor makroekonomi seperti turun naik mata wang dan inflasi," ujarnya.
Penyedia infrastruktur telekomunikasi Edotco Group Sdn Bhd telah menggesa kerajaan untuk terus menyokong pengembangan infrastruktur 5G untuk meningkatkan ketersambungan di seluruh negara, khususnya di kawasan yang kurang mendapat perkhidmatan.
Ketua Pegawai Eksekutif Edotco, Mohamed Adlan Ahmad Tajudin, menjelaskan pelancaran 5G yang lebih pantas adalah penting untuk transformasi digital Malaysia, memupuk inovasi dan menyokong pertumbuhan ekonomi.
“Dengan memperkemas proses kawal selia dan mengurangkan halangan kepada pembangunan infrastruktur baharu, ia akan membantu mempercepatkan kemajuan,” kata beliau.
Sementara itu, dari perspektif industri, Alfie berkata, pembangunan 5G di Malaysia perlu dibangunkan lagi berbanding pasaran lain disebabkan oleh struktur penggunaan rangkaian semasa yang menyekat inovasi syarikat telekomunikasi.- DagangNews.com








