KUALA LUMPUR 23 Julai – Malaysia perlu bergerak lebih pantas menarik minat golongan muda menyertai sektor pertanian selepas kajian terbaharu menunjukkan tenaga kerja dalam industri itu semakin berusia, yang berisiko mengancam usaha memperkukuh sekuriti makanan negara pada masa depan.
Dapatan itu diperoleh menerusi kajian yang dijalankan PNB Research Institute, iaitu analisis pertama menggunakan data pentadbiran selama tujuh tahun membabitkan graduan institusi TVET pertanian. Hasil kajian tersebut telah dibentangkan kepada Majlis TVET Negara pada 4 Jun lalu.
Cabaran itu berlaku ketika sektor agromakanan memerlukan lebih ramai tenaga mahir terutama golongan muda bagi meningkatkan produktiviti dan memenuhi keperluan bekalan makanan yang semakin meningkat.
Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Isham Ishak berkata, Kajian TVET Pertanian mendapati hampir separuh tenaga kerja ladang kini berusia 40 tahun ke atas, manakala penyertaan belia pula semakin berkurangan.
Menurut beliau, keadaan itu menunjukkan sektor pertanian memerlukan nafas baharu melalui pembangunan modal insan yang lebih agresif agar ia terus kekal relevan dan mampu menyokong agenda keterjaminan makanan negara.
"Persoalannya bukan lagi sama ada kita mempunyai sumber yang mencukupi, tetapi sama ada kita benar-benar bersedia memanfaatkan sepenuhnya aset dan kemudahan yang telah tersedia," katanya ketika membentangkan laporan kajian itu hari ini.
Latihan Perlu Disusun Mengikut Keperluan Negeri
Beliau berkata, satu lagi isu yang dikenal pasti ialah latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) pertanian masih tertumpu di beberapa negeri, sedangkan kawasan yang mempunyai potensi besar seperti Johor, Pahang dan Perak masih belum dimanfaatkan secara optimum.
Justeru, katanya, hasil kajian itu akan digunakan sebagai panduan bagi menyusun semula program latihan supaya lebih menepati keperluan setiap negeri, di samping membantu mengurangkan risiko kepada usahawan pertanian.
“Pendekatan tersebut akan merapatkan hubungan antara institusi latihan dengan industri supaya graduan yang dilahirkan benar-benar memenuhi kehendak pasaran pekerjaan,” katanya.
Pada masa sama, kajian itu membuktikan usaha memperkasa TVET pertanian mula membuahkan hasil apabila kadar graduan memperoleh pekerjaan terus meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Kadar pekerjaan graduan meningkat daripada 61 peratus pada 2018 kepada 76 peratus pada 2024 sebelum mencapai rekod tertinggi 85.92 peratus pada 2025, manakala kadar kebolehpasaran graduan turut meningkat kepada 89.47 peratus berbanding 81.23 peratus pada tahun sebelumnya.
Permintaan Industri Semakin Menggalakkan
Isham berkata, peningkatan tersebut menunjukkan kemahiran yang ditawarkan institusi TVET pertanian semakin mendapat perhatian industri dan membuka lebih banyak peluang kerjaya kepada graduan.
Beliau berkata, empat program Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), iaitu penternakan ayam, akuakultur marin, pemasaran dan pemprosesan makanan mencatat kadar kebolehpasaran graduan 100 peratus pada tahun lalu, mencerminkan permintaan yang kukuh terhadap bidang berkenaan.
Katanya, dapatan tersebut akan menjadi asas kepada penggubalan dasar yang lebih berkesan bagi menyokong Dasar Sekuriti Makanan Negara 2030, selain memperkukuh kerjasama antara kerajaan dan sektor swasta dalam melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir untuk memacu pembangunan sektor agromakanan negara.- DagangNews.com








