KUALA LUMPUR 23 Julai - Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung isu pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji (TH) bagi tempoh 2014 hingga 2020 dijangka didedahkan kepada umum dalam masa terdekat, selepas kerajaan memutuskan tiada lagi keperluan untuk menangguhkan penerbitannya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata beliau akan mendapatkan pandangan Ketua Setiausaha Negara (KSN) sama ada laporan tersebut perlu dibentangkan kepada Kabinet terlebih dahulu sebelum diumumkan kepada orang ramai.
"Saya akan berbincang dengan Ketua Setiausaha Negara sama ada prosesnya memerlukan laporan itu dirujuk kepada Kabinet terlebih dahulu. Jika tiada keperluan, saya akan umumkan hari ini.
"Jika perlu dirujuk kepada Kabinet, saya akan tunggu sehingga Rabu," katanya ketika ditemui media selepas menyempurnakan Humane Economy Global Discourse (HEGD) 2026 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur hari ini.
Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan dan Pengerusi Forum Ekonomi Manusiawi (FEM), Prof Datuk Dr Saadiah Mohamad.
Menurut Anwar, Kabinet sebelum ini telah membuat keputusan supaya laporan RCI berkenaan didedahkan kepada umum, namun pelaksanaannya ditangguhkan bagi memberi ruang kepada Tabung Haji melaksanakan proses transformasi pengurusan dan pembaharuan institusi.
Beliau berkata, pada ketika itu kerajaan mengambil pendekatan berhati-hati kerana keutamaan diberikan kepada usaha membetulkan kelemahan tadbir urus serta ketidakaturan yang dikenal pasti.
Pengurusan Tabung Haji Diperkukuhkan
"Kami diberi peringatan kerana pada ketika itu terdapat keperluan untuk melakukan transformasi terhadap pengurusan serta memperbetulkan beberapa ketidakaturan yang berlaku.
"Saya fikir sememangnya terdapat pelanggaran terhadap banyak peraturan. Saya tidak boleh mengatakan ia sebagai rasuah, tetapi pastinya berlaku penyalahgunaan yang besar," katanya.
Bagaimanapun, Anwar berkata keadaan kini jauh berbeza apabila pengurusan Tabung Haji telah diperkukuhkan di bawah kepimpinan Pengerusinya, Tan Sri Abdul Rashid Hussain, bersama barisan pengurusan sedia ada.
Beliau menyifatkan TH kini sebagai sebuah institusi yang diurus secara profesional, telus serta mempunyai sistem audit yang baik.
"Tan Sri Abdul Rashid Hussain dan pasukannya telah melakukan tugas yang sangat baik. Mereka berjaya menguruskan Tabung Haji sebagai sebuah institusi yang diurus dengan baik, telus dan diaudit dengan sempurna.
"Justeru, saya tidak melihat sebarang sebab untuk kerajaan terus menangguhkan pendedahan laporan tersebut," katanya.
Pada 2022, Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, telah memperkenankan penubuhan RCI bagi menyiasat isu pengurusan dan operasi Tabung Haji sepanjang tempoh 2014 hingga 2020.
Baginda turut memperkenankan pelantikan enam anggota suruhanjaya itu, termasuk bekas Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif, sebagai pengerusinya. - DagangNews.com








