Penarafan semula saham Sunway bergantung pemulihan hartanah di Malaysia dan Singapura - CGSI | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Penarafan semula saham Sunway bergantung pemulihan hartanah di Malaysia dan Singapura - CGSI

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 23 Julai – Potensi penarafan semula saham Sunway Berhad perlu bergantung kepada pemulihan kukuh pasaran hartanah di Malaysia dan Singapura, menurut CGS International (CGSI).

 

Kumpulan itu ujarnya, sudah memiliki pelan pertumbuhan jangka panjang mantap menerusi pembangunan berorientasikan transit (TOD), pusat data (DC) kecerdasan buatan (AI) dan pelancongan kesihatan.

 

Justeru, kekurangan pemangkin utama dalam tempoh terdekat menyebabkan firma itu mengekalkan saranan 'pegang' terhadap sahamnya, selain menyemak turun harga sasaran (TP) kepada RM5.53 daripada RM5.95.

 

"Pasaran hartanah di Malaysia dan Singapura menjana 39% daripada penilaian Sunway berasaskan jumlah bahagian (SOP) serta 21% daripada unjuran keuntungan sebelum cukai tahun kewangan 2027," kata CGSI.

 

Jelasnya lagi, kumpulan itu kini memberi tumpuan kepada empat tema pertumbuhan utama, antaranya perluasan pembangunan TOD dan tanah perindustrian, serta meningkatkan perolehan projek DC AI.

 

Usaha itu tambahnya, disandarkan kepada Sunway Construction Group Berhad (SunCon), manakala Langkah pengukuhan pelancongan kesihatan diserahkan pula melalui Sunway Healthcare Holdings Berhad (SHH).

 

Sunway_DagangNews2026

 

CGSI berpandangan, pemacu signifikan ialah usaha membuka nilai portfolio hartanah Sunway menerusi dua pembangunan TOD utama di Johor dan Negeri Sembilan, terutama projek Rapid Transit System (RTS).

 

"Selain itu, kumpulan berkenaan turut meneliti penubuhan amanah pelaburan hartanah (REIT) bagi perindustrian selepas fasa ketiga pembangunan logistiknya di Iskandar Puteri disiapkan," katanya.

 

Nilai perniagaan tidak tersenarai kumpulan itu masih munasabah selepas penyenaraian SHH pada Mac 2026, dengan kumpulan itu kini memiliki tiga syarikat tersenarai iaitu SHH, SunCon dan Sunway REIT.

 

Perniagaan teras Sunway yang masih tidak tersenarai ujar CGSI, merangkumi hartanah di Malaysia dan Singapura dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM76 bilion serta bank tanah berkeluasan 959 hektar.

 

Bagaimanapun, firma itu berkata, walaupun jualan awal projek di Singapura kekal positif, prestasi di Malaysia lebih terpilih dengan projek TOD seperti Sunway Velocity 3 mengatasi pembangunan lain.

 

"Sehubungan itu, kami menurunkan unjuran pendapatan sesaham (EPS) bagi FY26 hingga FY28 sebanyak 1% dan menilai pertumbuhan kukuh sektor hartanah menjadi pemangkin penarafan semula," katanya. - DagangNews.com