KUALA LUMPUR 23 Julai — BM GreenTech Berhad mencatatkan peningkatan 1.8% keuntungan bersih kepada RM55.6 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026, didorong impak positif segmen biotenaga.
Penyedia rumusan tenaga boleh diperbaharui (RE) bersepadu itu melaporkan keuntungan selepas cukai (PAT) tersebut meningkat berbanding RM54.6 juta yang dicatatkan pada tahun kewangan sebelumnya.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata, hasil bertambah 7% kepada RM601.0 juta daripada RM561.6 juta pada FY25, yang merupakan paras paling tinggi pernah dicapai oleh syarikat.
"Segmen biotenaga kekal sebagai penyumbang teras dengan hasil sebanyak RM310.2 juta, meningkat kira-kira 2.9%, disokong oleh unit perniagaan baik pulih dan penyelenggaraan (O&R)," jelas BM GreenTech.
Sementara segmen rawatan air mencatatkan hasil RM90.1 juta, melonjak 47.7% berikutan permintaan tinggi daripada taman perindustrian dan pengembangan infrastruktur pusat data (DC) di seluruh Malaysia.

Dalam pada itu hasil segmen tenaga solar naik kepada RM200.7 juta, namun keuntungan sebelum cukai (PBT) segmen ini merosot mendadak akibat persaingan sengit dan kos panel solar yang lebih tinggi.
Justeru, Lembaga Pengarah BM GreenTech mencadangkan dividen akhir satu peringkat sebanyak 3.0 sen sesaham biasa, tertakluk kelulusan pemegang saham pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) akan datang.
"Meskipun hasil bertambah, PBT susut 4.2% kepada RM70.5 juta berbanding RM73.6 juta sebelum ini, kesan permintaan yang rendah dalam pasaran solar bumbung dan perubahan landskap polisi," katanya.
Melangkah hadapan, pihak pengurusan masih lagi optimis terhadap prospek pertumbuhan jangka panjang melalui penglibatan aktif syarikat dalam agenda Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
Strategi BM GreenTech kini turut merangkumi pemilikan aset RE bagi membina asas pendapatan secara berulang yang stabil, di samping pengembangan luas dalam sektor DC. - DagangNews.com








