KUALA LUMPUR 23 Julai - MBSB Berhad (MBSB) melupuskan keseluruhan pegangan ekuitinya dalam MIDF Amanah Asset Management Berhad (MAAM) kepada Tortoise Works Sdn. Bhd. (TW) sebagai sebahagian daripada strategi transformasi kumpulan untuk memperkukuh tumpuan terhadap perniagaan teras perbankan.
MBSB dalam satu kenyataan berkata, pelupusan itu dilaksanakan menerusi anak syarikat milik penuhnya, Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF).
Menurutnya, transaksi berkenaan dijangka tidak memberikan sebarang kesan kewangan yang material kepada kumpulan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB, Rafe Haneef berkata, langkah itu dibuat bagi membolehkan kumpulan memberi fokus yang lebih jelas kepada perniagaan perbankan teras.
"Untuk memberi tumpuan yang lebih jelas kepada perbankan teras, kami perlu membuat keputusan yang tepat mengenai perniagaan di luar bidang tersebut.
"MAAM telah membina nama dan reputasi yang kukuh sepanjang 34 tahun. Ketika MAAM melangkah ke fasa pertumbuhan seterusnya, kami mendoakan agar mereka akan terus maju dan berjaya," katanya.
Sementara itu, Pengarah Tortoise Works, Shan Kamahl Mohammad berkata, syarikat itu komited untuk meneruskan legasi MAAM dengan mengekalkan pertumbuhan mampan, tadbir urus yang berdisiplin serta prestasi pelaburan yang kukuh.
Beliau berkata, Tortoise Works juga akan bekerjasama rapat dengan tenaga kerja, pelanggan, pihak berkuasa kawal selia serta rakan perniagaan MAAM bagi memastikan penciptaan nilai jangka panjang kepada semua pihak berkepentingan.
"Kami juga ingin merakamkan penghargaan kepada MIDF dan MBSB atas profesionalisme yang ditunjukkan sepanjang proses ini.
"Kami menghargai kepercayaan yang diberikan kepada kami serta peluang untuk meneruskan tanggungjawab mengemudi MAAM dengan berlandaskan asas kukuh yang telah dibina sepanjang 34 tahun lalu," katanya.
MBSB berkata, pelupusan itu telah memperoleh kelulusan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia pada 9 Julai 2026 sebelum transaksi tersebut dimuktamadkan pada 23 Julai 2026. - DagangNews.com








