KUALA LUMPUR 23 Julai – Keyakinan perniagaan dalam kalangan syarikat di Malaysia merosot pada separuh pertama 2026 dengan peningkatan kos operasi, ketidaktentuan ekonomi global dan persekitaran perniagaan yang semakin mencabar terus memberi tekanan kepada komuniti perniagaan, menurut Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM).
Presiden ACCCIM, Datuk Ng Yih Pyng berkata, Indeks Keadaan Perniagaan (BCI) menerusi Kaji Selidik Keadaan Perniagaan dan Ekonomi ACCCIM (M-BECS) susut kepada 78.5 bagi separuh pertama tahun ini, manakala Indeks Sentimen Perniagaan (BSI) menunjukkan syarikat masih berhati-hati walaupun menjangkakan keadaan bertambah baik secara beransur-ansur pada separuh kedua 2026.
Beliau berkata, konflik ketenteraan di rantau Timur Tengah, turun naik harga minyak, gangguan rantaian bekalan serta tekanan kos yang berterusan menjadi antara faktor utama yang menjejaskan keyakinan perniagaan.
"Walaupun terdapat jangkaan keadaan luar akan semakin stabil, kebanyakan syarikat masih bimbang terhadap peningkatan kos operasi, kesukaran mendapatkan pembiayaan dan ketidaktentuan persekitaran perniagaan," katanya dalam sidang media di Wisma Chinese Chambers, hari ini.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan Sosioekonomi (SERC), Lee Heng Guie berkata, tekanan kos kekal menjadi cabaran terbesar yang dihadapi syarikat sepanjang enam bulan pertama tahun ini.
Menurut beliau, sebanyak 34.4% responden berpandangan keadaan ekonomi bertambah buruk, manakala 34.6% menyatakan persekitaran perniagaan semakin lemah dengan hampir semua sektor merekodkan sentimen yang lebih rendah.

Malah, beliau berkata, BSI dijangka merosot 12.4 mata kepada 94.9 pada separuh kedua 2026 berikutan kebimbangan terhadap kesan konflik Timur Tengah yang dikhuatiri mengganggu bekalan tenaga global dan bahan mentah penting.
Dalam pada itu, Yih Pyng berkata, peningkatan kos yang berlarutan sejak beberapa tahun kebelakangan ini menjadi lebih membebankan apabila konflik geopolitik menjejaskan sentimen pengguna, rantaian bekalan serta bekalan diesel dan bahan mentah kepada pelbagai industri.
Beliau turut memuji usaha kerajaan mempercepatkan pembayaran balik cukai yang tertunggak, namun berharap proses itu dapat dipercepatkan lagi bagi membantu syarikat meningkatkan aliran tunai dan membuat pelaburan semula ketika berdepan cabaran ekonomi semasa.
Kajian M-BECS yang dijalankan antara 4 hingga 30 Jun 2026 melibatkan 791 syarikat, dengan 91.3% daripada responden merupakan perniagaan yang tertumpu kepada pasaran domestik, manakala 65.7% terdiri daripada syarikat dalam sektor perkhidmatan.
Dapatan kajian itu akan dijadikan input kepada kerajaan dalam merangka dasar bagi meningkatkan daya tahan ekonomi dan daya saing perniagaan negara. - DagangNews.com








