Untung bersih Westports naik 56% kepada RM360.9 juta pada 2Q26, umum dividen interim 14.98 sen | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih Westports naik 56% kepada RM360.9 juta pada 2Q26, umum dividen interim 14.98 sen

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 23 Julai - Westports Holdings Bhd mencatatkan peningkatan keuntungan bersih sebanyak 56% kepada RM360.9 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2026 (Q2 FY26), berbanding RM231.6 juta yang direkodkan dalam tempoh sama tahun lalu, disokong pertumbuhan hasil susulan pelaksanaan kadar tarif yang lebih tinggi.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, hasil syarikat bagi suku berkenaan meningkat 25% kepada RM866.9 juta daripada RM691 juta setahun lalu.

 

Sejajar dengan prestasi kewangan yang lebih kukuh, pengendali pelabuhan itu mengisytiharkan dividen interim pertama satu peringkat sebanyak 14.98 sen sesaham, melibatkan pembayaran keseluruhan berjumlah RM514.8 juta.

 

Bagi tempoh enam bulan pertama tahun kewangan 2026 (1H FY26), keuntungan bersih Westports meningkat 51% kepada RM687.4 juta berbanding RM454 juta yang dicatatkan dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Hasil bagi tempoh enam bulan itu turut melonjak 34% kepada RM1.76 bilion berbanding RM1.30 bilion sebelumnya, mencerminkan momentum pertumbuhan operasi yang berterusan.

 

Mengenai prospek, Westports menjangkakan jumlah keseluruhan pengendalian kontena bagi tahun kewangan semasa akan kekal secara umumnya setanding dengan prestasi tahun lalu, meskipun persekitaran ekonomi global masih berdepan pelbagai cabaran.

 

Menurut syarikat itu, ketegangan di Timur Tengah yang semakin reda dijangka menyokong pemulihan perdagangan global secara beransur-ansur, sekali gus membantu meningkatkan keyakinan terhadap rantaian bekalan antarabangsa.

 

Katanya, pengurangan intensiti konflik di rantau berkenaan dijangka membolehkan bekalan tenaga pulih dengan lebih pantas, walaupun pemulihan sepenuhnya ke paras sebelum krisis dijangka mengambil masa lebih lama.

 

Pada masa sama, tekanan inflasi yang meningkat sejak beberapa bulan lalu dijangka terus berkurangan, sekali gus membantu mewujudkan keseimbangan antara pemulihan ekonomi dengan kesan kos sara hidup yang masih tinggi terhadap perbelanjaan pengguna serta kedudukan fiskal kerajaan.

 

Westports berkata, jumlah pengendalian kontena pemindahan (transhipment) serantau dijangka lebih dipengaruhi oleh strategi syarikat perkapalan dalam menyesuaikan operasi mereka mengikut landskap perdagangan semasa, selain perubahan dalam rantaian bekalan global dan keadaan ekonomi serantau.

 

"Syarikat pada masa ini menjangkakan jumlah keseluruhan pengendalian kontena adalah secara umumnya setanding dengan tahun sebelumnya dan akan mengemas kini unjuran sekiranya perubahan pantas dalam keadaan semasa memberi kesan material kepada prospek jumlah pengendalian," katanya. - DagangNews.com