Bursa Malaysia diperakui Bursa Hong Kong sebagai pasaran modal diiktiraf | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bursa Malaysia diperakui Bursa Hong Kong sebagai pasaran modal diiktiraf

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 23 JulaiBursa Malaysia mencatat pencapaian penting di peringkat global dengan diperakui sebagai bursa saham diiktiraf (RSE) oleh Hong Kong Exchanges and Clearing Ltd (HKEX).

 

Kejayaan terbaharu berkenaan sekali gus membuka laluan lebih luas kepada syarikat tersenarai di Pasaran Utama bursa tersebut untuk memohon penyenaraian sekunder di pasaran permodalan Hong Kong.

 

Pengiktirafan itu juga dijangka memberi akses syarikat Malaysia kepada pelabur antarabangsa serta mewujudkan peluang baharu sumber pembiayaan global menerusi antara pasaran modal terbesar di Asia.

 

"Bursa Malaysia menjadi ke-21 daripada 19 negara menerima status RSE serta menyertai tiga lagi bursa di Asia Tenggara yang sudah pun diiktiraf iaitu Indonesia, Singapura dan Thailand," kata kenyataan HKEX.

 

Jelasnya, pengiktirafan itu merupakan susulan kepada memorandum persefahaman (MoU) dimeterai bersama Bursa Malaysia pada awal tahun ini bagi memperkukuh hubungan serta peluang rentas sempadan.

 

Pengumuman itu turut dibuat seiring pemeteraian MoU antara Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) serta Suruhanjaya Sekuriti dan Niaga Hadapan Hong Kong bagi meningkatkan akses bersama kedua-dua pasaran.

 

Hong Kong Exchange_DagangNews2026

 

Ketua Pegawai Eksekutif HKEX, Bonnie Y Chan berkata, pengiktirafan itu mencerminkan komitmen bersama dalam memperkukuh hubungan serantau serta memperluaskan akses kepada modal di seluruh Asia.

 

"Malaysia antara ekonomi paling dinamik di Asia Tenggara, manakala Hong Kong kekal pusat kewangan antarabangsa utama Asia dan pintu masuk kepada peluang pelaburan di tanah besar China," ujarnya.

 

Tambah beliau, laluan yang lebih cekap kepada syarikat awam tersenarai dan pelabur akan membantu dalam memperkukuh aliran modal, pertukaran idea serta peluang pelaburan antara kedua-dua pasaran.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Fad'l Mohamed berkata, pengiktirafan HKEX membuka peluang kepada syarikat di Pasaran Utama meluaskan capaian kepada pelabur global.

 

Di samping itu, perakuan tersebut membuktikan keyakinan terhadap standard kawal selia, prasarana pasaran dan tadbir urus, serta mengukuhkan kerjasama strategik dua bursa berkenaan. - DagangNews.com