Kaunter sektor perbankan tunjuk tanda kelemahan meluas, Maybank IB saran 'beli' CBH dan Scicom | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kaunter sektor perbankan tunjuk tanda kelemahan meluas, Maybank IB saran 'beli' CBH dan Scicom

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 19 Feb – Kaunter sektor perbankan menunjukkan tanda kelemahan meluas, di sebalik momentum mingguan pasaran tempatan kekal disokong aktiviti sihat, menurut Maybank Investment Bank.


Firma penyelidikan itu berkata, meskipun wujud isyarat lonjakan dalam aliran menaik untuk sektor kewangan, keadaan tersebut dinilai sebagai berpotensi membuka kepada ruang belian baharu pula.


Sektor itu tambahnya, sebelum ini menjadi peneraju pasaran, manakala penanda aras FBMKLCI ditutup naik 1.72 mata atau 0.10% kepada 1,741.26 mata, sehari sebelum cuti perayaan Tahun Baharu Cina.


"Kaunter seperti Press Metal, Sime Darby dan PCHEM antara penyumbang utama kenaikan, dengan jurang pasaran kekal positif apabila 575 kaunter untung berbanding cuma 474 yang rugi," kata Maybank IB.


Justeru, firma tersebut menjangkakan FBMKLCI mampu diniagakan dalam julat antara 1,730 hingga 1,750 mata sepanjang hari ini, dengan paras sokongan masing-masing pada 1,685 dan 1,640 mata.


Bagi dagangan jangka pendek, ia menyenaraikan tiga kaunter patuh syariah sebagai tumpuan utama, antaranya CBH Engineering Holding Berhad dengan saranan beli' dan henti rugi (SL) pada 48 sen.


Menurut Maybank IB, purata pergerakan mudah (EMA) 50 hari kekal sebagai paras sokongan penting, dengan harga kembali melepasi semua garisan purata, manakala rintangan R1 58 sen dan R2 64 sen.


"Walaupun momentum saham ini amat sederhana, pembentukan struktur 'higher low’ baharu dijangka menyokong kesinambungan aliran menaik," kara firma penyelidikan tersebut dalam nota analisisnya.


Selain itu, Scicom (MSC) Berhad turut disaran 'beli' dengan paras SL RM1.32, serta R1 RM1.59 dan R2 RM1.75, namun paras anjakan semula sebanyak 38.2% dijangka berfungsi sebagai sokongan kukuh.


Maybank IB berkata, lantunan terbaharu memberi petunjuk penurunan mendadak sebelum ini kemungkinan berakhir, dengan penembusan di atas EMA 21 hari sekitar RM1.50 dilihat sebagai pengesahan belian.


Ia juga memberi tumpuan kepada Feytech Holdings Berhad, tetapi disyorkan 'jual' dengan SL 30 sen, sokongan S1 25 sen dan S2 22 sen, manakala aliran saham ini didagangkan dalam corak ‘rectangle’.


"Bagaimanapun ia kekal menurun apabila EMA 21 hari berada di bawah purata jangka panjang, dengan kembali di bawah paras 50 turut menandakan risiko penembusan sokongan terus naik," katanya.


Dalam segmen komoditi, kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (FCPO) dilihat semakin lemah selepas menembusi garis aliran menaik dan awan Ichimoku, sekali gus mengukuhkan momentum menurun.


Sementara itu, kontrak hadapan KLCI (FKLI) sekali lagi mendapat sokongan pada EMA 21 hari selepas jurang penurunan mengekalkan struktur aliran menaik lebih luas, dengan memberi ruang kenaikan.


Secara keseluruhan, Maybank IB berpandangan momentum pasaran kekal stabil disokong penyertaan meluas, dengan peluang dagangan taktikal wujud dalam saham-saham yang terpilih. - DagangNews.com