Hextar Capital tegaskan tiada kaitan dengan syarikat berhubung isu projek fiber optik | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Hextar Capital tegaskan tiada kaitan dengan syarikat berhubung isu projek fiber optik

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 16 Feb – Hextar Capital Berhad menegaskan bahawa ia tidak mempunyai sebarang kaitan dengan entiti perniagaan dikenali sebagai Opcom Sdn Bhd yang disebut dalam laporan berkaitan siasatan projek gentian optik.

 

Dalam laporan media baru-baru ini, Opcom Sdn Bhd dikatakan sebagai syarikat yang mendapat projek hasil rundingan terus bagi membekalkan dan memasang fiber optik kabel bernilai RM214 juta.

 

Hextar dalam satu kenyataan berkata Opcom yang dirujuk dalam laporan tersebut bukan dimiliki oleh syarikatnya atau anak syarikatnya.

 

“Hextar Group telah mengambil alih Opcom Holdings Berhad pada 2021 sebelum menukar nama syarikat berkenaan kepada Hextar Capital Berhad pada 2023. 

 

“Barisan pengurusan baharu telah dilantik sejak pengambilalihan tersebut,” kata Hextar Capital dalam satu kenyataan.

 

Ia berkata Opcom Sdn Bhd yang disebut dalam laporan berkenaan adalah sebuah syarikat persendirian yang dimiliki oleh kumpulan individu lain dan tidak mempunyai sebarang hubungan dengan Hextar Capital.

 

Hextar Capital menjelaskan bahawa projek yang diperkatakan dalam laporan berkenaan juga berlaku pada tahun 2003, iaitu sebelum Hextar Group mengambil alih Opcom Holdings (pada 2021) dan sebelum syarikat itu dinamakan semula sebagai Hextar Capital.

 

Hextar Capital mengulangi komitmennya untuk mengekalkan tahap tertinggi tadbir urus korporat, ketelusan serta pematuhan peraturan Bursa Malaysia.

 

Baru-baru ini, dua wakil daripada Pertubuhan Sukarelawan Warga Kota Kuala Lumpur telah membuat laporan rasmi kepada Suruhanjaya Pencegahan  Rasuah Malaysia (SPRM) di ibu pejabat agensi itu di Putrajaya meminta siasatan terperinci dijalankan berhubung projek gentian optik bernilai RM214 juta yang didakwa dianugerahkan melalui rundingan terus kepada Opcom. 

 

Laporan itu dibuat kerana mereka percaya wujud kemungkinan elemen tidak telus dalam penganugerahan kontrak tersebut dan menggesa siasatan terperinci dilakukan. - DagangNews.com