KUALA LUMPUR 19 Feb – Harvest Miracle Capital Berhad memperincikan cadangan pemilikan 40% dalam Kaw Kaw Malaya Sdn Bhd melibatkan 40,000 saham baharu daripada modal terbitan diperbesarkan.
Dalam pengumuman tambahan kepada Bursa Malaysia hari ini, kumpulan tersebut berkata, cadangan berkenaan akan membabitkan pelaburan ekuiti sebanyak RM40,000 yang mewakili 40% langganan saham.
Selain pelaburan ekuiti, struktur jumlah pelaburan Harvest Miracle dalam Kaw Kaw Malaya turut merangkumi pendahuluan pemegang saham berjumlah RM4.36 juta yang tidak bercagar dan tanpa faedah.
"Selepas pembesaran modal, struktur pegangan saham Kaw Kaw Malaya terdiri daripada GTB Restaurant Sdn Bhd (60%) dan Harvest Miracle (40%), berbanding sebelum ini 100% dimiliki oleh GTB," katanya.
Kaw Kaw Malaya akan terus mengendalikan restoran berkonsepkan warisan Malaysia di bawah jenama Kaw Kaw Malaya, beroperasi sebagai restoran perkhidmatan penuh dengan tumpuan kepada pelanggan premis.
Antara produk ditawarkan jelasnya, termasuk kopi, teh, minuman istimewa, hidangan utama tempatan, makanan ringan, menu perkongsian serta barangan dagangan berjenama dan barangan pengguna terpilih.
Selain itu, ia menjelaskan dua cawangan awal Kaw Kaw Malaya di Bangunan Sultan Abdul Samad dan Jalan Kemuning dipilih kerana lokasi strategik berpotensi menarik pelancong dan pengguna tempatan.
GTB, selaku pengasas dan pengendali Kaw Kaw Malaya, diperbadankan pada 16 April 2018 dengan modal berbayar RM600,000 dan terlibat dalam perniagaan pengendalian restoran serta aktiviti berkaitan.
"Di bawah struktur pelaburan itu, Kaw Kaw Malaya membayar yuran pengurusan kepada GTB bersamaan 6% daripada hasil kasar, dibilkan secara bulanan dengan tempoh kredit 30 hari," kata Harvest Miracle.
Bagaimanapun jelasnya, yuran tersebut boleh diberikan diskaun sehingga 60% sekiranya jumlah pelaburan Harvest Miracle tidak dipulihkan sepenuhnya dalam tempoh 36 bulan bermula 1 Mei 2026.
Di samping itu, mekanisme perlindungan pelaburan disediakan termasuk akses keutamaan pengagihan serta opsyen jual bagi membolehkan Harvest Miracle keluar pada pulangan minimum yang dilindungi.
Langkah berkenaan katanya, akan dilaksanakan sekiranya Kaw Kaw Malaya mencatat perolehan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) yang negatif dalam pendapatan kasarnya.
Menurut Lembaga Pengarah Harvest Miracle, prospek jangka panjang Kaw Kaw Malaya disokong oleh kekuatan jenama, lokasi strategik serta rangka kerja pelaburan yang mengurangkan risiko.
"Prospek yang agak positif menerusi perniagaan Kaw Kaw Malaya tersebut sekali gus berpotensi menyumbang kepada pertumbuhan stabil kumpulan pada masa hadapan," katanya. - DagangNews.com








