Critical Holdings berpotensi kekalkan pengisian kontrak tahunan RM300 juta bagi FY26, kata Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Critical Holdings berpotensi kekalkan pengisian kontrak tahunan RM300 juta bagi FY26, kata Maybank IB

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 13 FebCritical Holdings Berhad berpotensi mengekalkan pengisian semula kontrak tahunan sekitar RM300 juta bagi tahun kewangan yang berakhir pada 30 Jun 2026 (FY26).


Menurut Maybank Investment Bank, keyakinan itu susulan kemenangan kontrak baharu bernilai RM35 juta yang mencerminkan pemulihan kitaran perbelanjaan modal (capex) dalam sektor teknologi tinggi.


Firma penyelidikan itu berkata, kemenangan kontrak pertama tahun ini mengukuhkan lagi keterlihatan pendapatan serta menyokong prospek pertumbuhan bagi industri semikonduktor dan pusat data (DC).


"Kami juga mengekalkan saranan 'beli' ke atas Critical Holdings dengan harga sasaran (TP) RM1.14, berdasarkan penilaian 15 kali nisbah harga kepada pendapatan (PER) bagi unjuran FY26," katanya.


Maybank IB menambah, jangkaan itu sejajar dengan rakan setara sektor, susulan kumpulan tersebut  berjaya memperoleh kontrak baharu untuk kerja-kerja di sebuah kilang di Batu Kawan, Pulau Pinang. 


Mereka perlu menyediakan sistem memori komputer dan penyimpanan data bagi rumusan internet benda (IoT) industri di premis yang dimiliki syarikat multinasional (MNC) dari Amerika Syarikat (AS).


Kontrak itu meningkatkan buku tempahan terkumpul Critical Holdings kepada RM250 juta, bersamaan 76% daripada hasil FY25, sekali gus memberikan keterlihatan pendapatan bagi FY26 hingga FY27.


"Kami berpandangan kemenangan kontrak ini menandakan aktiviti pelaburan dalam ekosistem elektrik dan elektronik (E&E) serta pembuatan berteknologi tinggi Malaysia semakin pulih," kata Maybank IB.


Permintaan terhadap infrastruktur misi kritikal jelas firma tersebut, dijangka terus berkembang, terutamanya dalam sektor DC, pembuatan berteknologi tinggi dan infrastruktur perindustrian.


Kumpulan berkenaan tambahnya lagi, turut disokong oleh preasti buku tender yang kukuh bernilai kira-kira RM800 juta serta berkeupayaan dalam menyediakan potensi pengisian kontrak baharu.


Dengan andaian pengisian semula kontrak tahunan dan unjuran pendapatan tidak berubah, Maybank IB melihat Critical Holdings berada pada kedudukan terbaik memanfaatkan pemulihan. - DagangNews.com