Projek kereta api Trans Borneo masih sekadar cadangan, kata Anthony Loke | DagangNews Skip to main content

Projek kereta api Trans Borneo masih sekadar cadangan, kata Anthony Loke

Kerajaan menasihatkan semua pihak supaya berhati-hati dengan sebarang pengumuman syarikat swasta berhubung projek besar. - Gambar hiasan

SEPANG 1 April - Rangkaian kereta api berkelajuan tinggi menghubungkan Sabah, Sarawak, Brunei dan Kalimantan, Indonesia, yang dikenali sebagai projek Kereta Api Trans Borneo, masih sekadar cadangan dan belum ditawarkan kepada mana-mana syarikat, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

 

Beliau berkata tender untuk menjalankan kajian kebolehlaksanaan projek itu hanya akan dibuka pada Mei.

 

“Projek Kereta Api Trans Borneo buat masa ini hanyalah cadangan, dan pada tahun ini, kerajaan akan melaksanakan kajian kebolehlaksanaan. Kementerian Pengangkutan (MOT) masih belum memuktamadkan dokumen tender, dan tender untuk kajian kemungkinan masih belum ditawarkan.

 

“Kita jangka kajian kebolehlaksanaan mengambil masa sembilan bulan, baru kita tahu projek itu boleh dilaksanakan atau tidak dari segi komersial, teknikal dan aspek lain,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran hab pengangkutan yang dinaik taraf di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, di sini hari ini.
 


BACA Pembinaan Projek Kereta Api Trans Borneo dijangka tidak berlaku dalam masa terdekat - RHB Investment

 

Beliau menasihatkan semua pihak supaya berhati-hati dengan sebarang pengumuman syarikat swasta berhubung projek besar, sambil menambah bahawa sebarang projek mega hanya dianggap sah jika kerajaan mengumumkannya.

 

“Jika mereka (syarikat swasta dari Brunei) mengatakan mahu membina landasan kereta api di Sabah dan Sarawak, sudah tentu mereka memerlukan kelulusan daripada kerajaan Malaysia serta kerajaan negeri Sabah dan Sarawak. Setakat ini, belum ada kelulusan sedemikian, dan kami tidak pernah berunding dengan syarikat ini.

 

“Jadi, saya ingin menasihatkan bahawa sebarang kenyataan atau berita seperti ini mesti disahkan terlebih dahulu kerana ini mengelirukan orang ramai,” tambahnya.

 

Brunergy Utama Sdn Bhd, sebuah syarikat yang berpangkalan di Brunei, mendakwa bahawa ia akan melaksanakan projek itu dalam dua fasa, bernilai kira-kira AS$70 bilion (RM330 bilion) dan melibatkan laluan merentasi lebih 1,600 kilometer dengan kereta api yang mampu mencapai kelajuan sehingga 350km sejam. - DagangNews.com