Pemulihan penuh penumpang hanya dijangka pada suku kedua, taraf saranan Malaysia Airports kekal Neutral | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pemulihan penuh penumpang hanya dijangka pada suku kedua, taraf saranan Malaysia Airports kekal Neutral

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 1 Mac - MIDF Research menjangkakan pemulihan trafik penumpang udara seperti disasarkan Malaysia Airports Holdings Berhad (Malaysia Airports) hanya mungkin menjadi kenyataan pada separuh kedua 2024 (2HCY24).

 

Menurut firma penyelidikan itu, jumlah penumpang antarabangsa harian pada 24 Februari 2024 dilaporkan telah melebihi jumlah pada 23 Disember yang menandakan trend  menggalakkan.

 

Katanya, terdapat banyak peluang untuk pengembangan terutamanya dalam sektor bukan ASEAN didorong perjanjian pengecualian visa dengan China secara timbal balik.

 

"MAHB telah menetapkan sasaran untuk mengalu-alukan 17 syarikat penerbangan baharu pada tahun ini untuk beroperasi dari lapangan terbang Malaysia, dengan lima telah dicapai.

 

"Sehingga 24 Februari, bilangan syarikat penerbangan yang beroperasi di Malaysia berjumlah 68 buah, hampir mencecah paras sebelum pandemik iaitu 69 syarikat penerbangan," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Sementara itu, MIDF Research mengekalkan saranan 'Neutral' pada harga sasaran (TP) tidak berubah sebanyak RM7.80 sesaham.  

 

Katanya, anggaran pendapatan sebahagian besarnya kekal tidak berubah selepas kemas kini angka setahun penuh.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Untung bersih MAHB melonjak 3 kali ganda kepada RM543 juta pada FY23 

 

"Kami mengekalkan penarafan NEUTRAL pada MAHB dengan TP terbitan DCF yang tidak berubah sebanyak RM7.80 (WACC: 11%, g: 1%). Saham itu didagangkan hampir dengan purata pra-pandemiknya," jelasnya.

 

Firma penyelidikan itu juga menggariskan dua pemangkin utama kepada Malaysia Airports termasuk pemulihan sektor bukan ASEAN yang lebih cepat daripada jangkaan.

 

Katanya, pemangkin selainnya ialah syarikat penerbangan tempatan meningkatkan jumlah operasi pesawat mereka.

 

Dalam pada itu, MIDF Research berkata, untung bersih teras Malaysia Airports yang dilaporkan sebanyak RM163.6 juta pada 4QFY23, pemulihan daripada kerugian pada 4QFY22 dan RM470.2 juta untuk FY23 adalah memenuhi jangkaan.

 

"Berbanding tahap 2019, jumlah penumpang Malaysia pulih kepada 78%, manakala Lapangan Terbang Sabiha Gokcen Istanbul (SGIA) menyaksikan pertumbuhan +12.0% yang ketara, didorong oleh trafik antarabangsanya yang teguh," ujarnya.- DagangNews.com