KUALA LUMPUR 10 Jun – KPMG di Malaysia terus memperkukuh komitmennya dalam membangunkan bakat masa depan negara apabila menganugerahkan 24 pelajar sebagai penerima Program Biasiswa Young Star bagi tahun 2026.
Setiap penerima biasiswa tersebut menerima bantuan kewangan sekali bayar antara RM8,000 hingga RM10,000 khususnya untuk membantu pelajar daripada kumpulan B40 dan komuniti kurang berkemampuan meneruskan pengajian tinggi.
Program ini merupakan sebahagian daripada rangka besar KPMG Education Trust Fund (ETF) iaitu dana pendidikan menyeluruh yang turut merangkumi KPMG Young Spark Sponsorship untuk pelajar sekolah rendah dan menengah serta KPMG Young Excellence Sponsorship yang memberi sokongan kepada anak-anak kakitangan KPMG di Malaysia.
ETF tersebut disokong oleh komitmen dana berjumlah RM5 juta daripada rakan kongsi KPMG di Malaysia, dengan struktur peruntukan sebanyak RM500,000 setiap tahun selama tempoh 10 tahun.
Sejak diperkenalkan, KPMG Education Trust Fund (ETF) telah memberi manfaat kepada seramai 983 penerima di seluruh negara, dengan jumlah keseluruhan pelaburan melebihi RM1.8 juta setakat ini.
Daripada jumlah itu, sebanyak RM682,000 telah disalurkan khusus melalui Program Biasiswa Young Star kepada 77 pelajar dalam tempoh tiga tahun pelaksanaannya, menunjukkan peningkatan sokongan berterusan kepada pendidikan tinggi.
Inisiatif ini juga menyokong komitmen global KPMG “10by30”, iaitu sasaran untuk memberi impak kepada 10 juta belia daripada kumpulan kurang berkemampuan dan terpinggir menjelang tahun 2030 melalui akses pendidikan dan peluang pekerjaan.

Pengarah Urusan KPMG di Malaysia, Foong Mun Kong berkata landskap pekerjaan kini berubah dengan pantas dipacu oleh teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) serta ketidaktentuan ekonomi global yang semakin kompleks.
Menurut beliau, kejayaan masa depan tidak lagi hanya bergantung kepada jawapan yang betul, tetapi kepada keupayaan individu untuk menyesuaikan diri, mempunyai kecekapan serta komitmen kepada pembelajaran berterusan.
“Program Biasiswa Young Star ini mencerminkan kepercayaan kami bahawa pelajar perlu diberi akses, peluang dan sokongan untuk membina ketahanan serta keupayaan bagi menghadapi dunia yang sentiasa berubah.
“Masa depan akan dimiliki oleh mereka yang mampu belajar, melupakan kaedah lama dan mempelajari semula kemahiran baharu secara berterusan bagi kekal relevan dalam pasaran kerja,” katanya.
Selain bantuan kewangan bagi menampung pengajian profesional, penerima biasiswa turut menerima laluan pembangunan kerjaya yang tersusun termasuk penempatan latihan industri yang dijamin serta pekerjaan selama satu tahun selepas tamat pengajian.
Mereka juga akan dibimbing melalui program mentor latihan pembangunan profesional serta pendedahan kepada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) sepanjang tempoh pengajian mereka di bawah ETF. - DagangNews.com








