RT Pastry sasar untung tahunan 16%, Malacca Securities unjur saham berpotensi naik 44% selepas IPO | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

RT Pastry sasar untung tahunan 16%, Malacca Securities unjur saham berpotensi naik 44% selepas IPO

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 10 JunRT Pastry Holdings Berhad berada pada landasan pertumbuhan yang lebih agresif selepas penyenaraiannya di Pasaran ACE pada 29 Jun 2026, menurut Malacca Securities.

 

Jangkaan itu disokong dengan rancangan penggandaan jumlah cawangan dalam tempoh empat tahun serta perluasan segmen borong yang berpotensi menjadi pemacu pendapatan baharu syarikat bakeri tersebut.


Kumpulan pengeluar serta peruncit produk roti dan kek tempatan itu turut berpeluang mencatat kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) keuntungan sebanyak 16% dalam tempoh tiga tahun akan datang.


"Justeru, kami menetapkan nilai saksama (FV) RT Pastry pada 26 sen sesaham, yang mewakili potensi kenaikan 44.4% berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) 18 sen," kata Malacca Securities.


Ujarnya, syarikat itu memperuntukkan RM7.6 juta daripada hasil IPO untuk membuka 16 cawangan dalam tempoh 36 bulan, hampir menyamai jumlah rangkaian sedia ada yang terdiri daripada 17 cawangan.


Pengembangan premis peruncitan itu dilihat sebagai pemacu paling signifikan, dengan setiap cawangan baharu disasarkan mencapai pulang modal dalam tempoh setahun berdasarkan rekod operasi syarikat.


Selain itu jelas Malacca Securities, segmen borong yang ketika ini hanya menyumbang 2.9% daripada hasil tahun kewangan 2025 (FY25) dinilai ada potensi pertumbuhan besar kepada RT Pastry sendiri.

 


RT Pastry_DagangNews2026

 

Kelebihan Model Pengeluaran Berpusat

"Unjuran positif berkenaan susulan penubuhan Ascend Rise Hub Sdn Bhd dan perjanjian pengedaran yang berjaya dimeterai kumpulan tersebut dengan rangkaian kopi HWC Coffee pada Mac 2026," tambahnya.


Kerjasama itu kata firma penyelidikan berkenaan, membuka peluang syarikat memperluaskan saluran perniagaan kepada pelanggan korporat, kafe dan pengedar pihak ketiga pada skala yang lebih besar.


Dari sudut operasi, RT Pastry terus menikmati kelebihan melalui model pengeluaran berpusat di dua kilang di Seri Kembangan dan Shah Alam yang meningkatkan kecekapan serta mengawal kos pengeluaran.


Jelas Malacca Securitis, margin keuntungan kasar naik kepada 35.4% pada FY25 berbanding 33.5% pada tahun 2022, berikutan pengurusan perolehan yang lebih cekap dan konsistensi pengeluaran produk.


"Kedudukan kewangan juga kukuh selepas pelupusan kilang di Balakong membolehkan jumlah pinjaman dikurangkan hampir separuh kepada RM11.8 juta pada FY25 daripada RM22.5 juta sebelumnya," katanya.


Langkah itu menjadikan RT Pastry dalam kedudukan tunai bersih RM4.6 juta, manakala RM3.8 juta lagi daripada hasil IPO akan digunakan untuk pembayaran hutang bagi mengurangkan tahap penggearan.


Malacca Securities mengunjurkan keuntungan bersih teras kumpulan itu meningkat kepada RM6.4 juta pada tahun kewangan 2026 sebelum berkembang kepada RM8.2 juta menjelang tahun kewangan 2028.


Bagaimanapun, antara risiko yang perlu dipantau termasuk kemerosotan jualan, kelewatan pembukaan cawangan baharu serta kenaikan harga bahan mentah menjejaskan margin keuntungan. - DagangNews.com