KUALA LUMPUR 10 Jun – Integrasi penuh MyDigital ID ke dalam sistem kenal pasti pelanggan (e-KYC) bank akan memperkukuh keupayaan sektor perbankan dalam mengesahkan identiti pelanggan yang seterusnya membanteras aktiviti penipuan scammers.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata perkara itu sudah dibincangkan dalam beberapa sesi libat urus bersama MyDgital ID untuk dilasanakan dalam sektor perbankan.
Beliau berkata, MyDigital ID memiliki ciri keselamatan dengan piawaian tinggi yang boleh menangani masalah pemalsuan identiti.
“Apabila dilaksanakan sepenuhnya nanti, kita optimis langkah ini dapat membanteras aktiviti penipuan scammers yang semakin membimbangkan sejak akhir-akhir ini,” katanya di Majlis Penghargaan Bank Heroes #jangankenascam hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Pasukan Petugas Kebangsaan untuk Membanteras Penipuan, Syed Ahmad Taufik Albar berkata, setakat ini masih belum terdapat garis masa khusus bagi pelaksanaan penuh integrasi MyDigital ID tersebut.
“Inisiatif berkenaan masih dalam fasa pembangunan dan pelaksanaannya telah pun bermula secara berperingkat. Setiap bank mempunyai titik permulaan yang berbeza. Mereka mempunyai garis masa masing-masing dari segi penggunaan MyDigital ID bagi memanfaatkan sistem ini untuk mencegah penipuan.
“Usaha integrasi ini dilihat sebagai langkah strategik untuk meningkatkan tahap keselamatan transaksi kewangan digital yang semakin berkembang pesat di Malaysia,” katanya.
Dalam masa sama, beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkhidmatan Kewangan Komuniti Maybank turut mengakui penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) oleh penjenayah siber kini semakin meningkat dalam melakukan aktiviti penipuan.
“Namun, institusi kewangan di seluruh dunia juga sedang mempertingkatkan pelaburan dalam teknologi AI bagi mengesan serta mencegah aktiviti penipuan dengan lebih berkesan.
“Penggunaan AI semakin meluas dalam semua aspek kehidupan kita. Dalam konteks penipuan, ia juga tidak terkecuali, maka terdapat peningkatan dalam penggunaan keupayaan AI untuk melakukan scam,” katanya. - DagangNews.com








