KUALA LUMPUR 10 Jun – Malaysia berisiko berdepan krisis berkembar melibatkan bekalan air dan tenaga dalam tempoh dua tahun akan datang berikutan kemunculan fenomena 'Super' El-Nino di seluruh negara.
Ujar Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) bersama Centre for Water and Energy Sustainability (CWES), situasi itu diramal memberi kesan amat besar menjelang akhir tahun ini.
Justeru Presidennya, Piarapakaran S menggesa kerajaan Persekutuan serta negeri mengambil tindakan segera menghadapi kemungkinan krisis yang menjejaskan sektor ekonomi, sosial dan alam sekitar.
"Analisis beberapa model ramalan menunjukkan pembentukan El-Nino sudah bermula dan mencapai tahap sangat kuat atau 'Super' pada akhir 2026 sebelum berlarutan hingga 2027," katanya dalam kenyataan.
Menurutnya yang Ketua Pegawai Eksekutif CWES, keadaan itu dijangka menyebabkan penyusutan pantas sumber air mentah, peningkatan risiko pencemaran sungai, kebakaran tanah gambut dan jerebu.
Dalam senario terburuk pula katanya, fenomena itu dikhautiri menjejaskan lagi keupayaan penjanaan hidroelektrik ketika negara masih berdepan ketidaktentuan kos tenaga akibat konflik Timur Tengah.
Jelasnya, beberapa kelemahan sedia ada seperti kehilangan zon tadahan berikutan pembangunan, kadar air tidak terhasil (NRW) tinggi dan pencemaran sungai boleh memburukkan impak fenomena tersebut.

"Data menunjukkan NRW di Semenanjung Malaysia dan Labuan naik kepada 5,541 juta liter sehari (MLD) pada 2024 berbanding 5,086 MLD pada 2020, dengan ada negeri mencatatkan kadar lebih 50%," katanya.
Pada masa sama, AWER turut membangkitkan kebimbangan status simpanan air mentah negara selepas kajian pada 2023 mendapati 16 daripada 55 empangan memerlukan penilaian semula kapasiti takungan.
Bagi mengurangkan risiko, organisasi itu mencadangkan kerajaan mempercepat pembangunan tadahan air mentah pinggiran sungai, memperkukuh pemantauan pencemaran, dan meningkatkan penguatkuasaan.
Ini terutama ke atas pembuangan sisa haram serta ada penyelarasan pelan pengurusan permintaan air secara lebih sistematik di seluruh negara dan penstrukturan semula industri perkhidmatan air.
"AWER juga mengingatkan yang fenomena El-Nino boleh meningkatkan risiko penerobosan air laut di sungai tertentu, selain menyebabkan kes kebakaran tanah gambut yang mencetuskan jerebu," ujarnya.
Keadaan tersebut kata Piarapakaran, turut mengurangkan kecekapan penjanaan tenaga solar, dan beliau bimbang negara kemungkinan berdepan kesan lebih serius akibat fenomena cuaca ekstrem berkenaan.
Sehubungan itu, AWER dan CWES akan menghantar surat rasmi kepada Perdana Menteri, kementerian berkaitan serta kerajaan negeri bagi menggesa langkah persediaan segera dibuat sebelum terlambat.
Tindakan awal amat penting bagi meminimumkan gangguan terhadap bekalan air, keselamatan tenaga dan aktiviti ekonomi negara sekiranya ramalan 'Super' El-Nino menjadi kenyataan. - DagangNews.com








