Pelabuhan Pulau Pinang laksana Sistem Pengurusan Trafik Kapal ke arah operasi lebih selamat dan pintar | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pelabuhan Pulau Pinang laksana Sistem Pengurusan Trafik Kapal ke arah operasi lebih selamat dan pintar

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 10 Jun - Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (PPC) telah melaksanakan Sistem Pengurusan Trafik Kapal (VTMS) pertama bagi meningkatkan tahap keselamatan, kecekapan operasi dan kemampanan aktiviti maritim di perairan negeri itu.

 

Pengerusi PPC, Datuk Yeoh Soon Hin berkata, sistem berkenaan menjadi komponen utama dalam usaha mentransformasikan Pelabuhan Pulau Pinang kepada sebuah pelabuhan pintar yang mampu memenuhi keperluan industri maritim moden.

 

Menurut beliau, VTMS akan berfungsi sebagai pusat kawalan trafik maritim yang membolehkan pemantauan pergerakan kapal secara masa nyata, sekali gus meningkatkan keselamatan pelayaran serta pengurusan trafik di perairan Pulau Pinang.

 

“Pelaksanaan VTMS merupakan satu pencapaian besar ke arah mewujudkan operasi pelabuhan yang lebih selamat, cekap dan mampan.

 

“Dengan sistem ini, kami mempunyai keupayaan yang lebih baik untuk memantau serta mengurus aliran trafik kapal yang semakin meningkat di perairan Pulau Pinang,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Sistem tersebut menggabungkan pelbagai teknologi canggih termasuk Sistem Pengenalpastian Automatik (AIS), Sistem Paparan Carta Elektronik dan Maklumat (ECDIS), Radio Frekuensi Sangat Tinggi (VHF) serta Sistem Pengawasan Elektro-Optik (EOS) bagi membolehkan pemantauan yang lebih menyeluruh dan tepat.

 

Soon Hin berkata, perairan Pulau Pinang merupakan antara koridor maritim paling aktif di negara ini yang menampung pergerakan harian kapal kargo, kapal persiaran, feri penumpang dan pelbagai jenis kapal lain.

 

Sehubungan itu, pelaksanaan VTMS dilihat sebagai langkah proaktif untuk memastikan tahap keselamatan dan kecekapan operasi terus dipertingkatkan selaras dengan peningkatan jumlah trafik maritim.

 

Beliau berkata, sistem berkenaan turut menyediakan asas kukuh bagi menghadapi cabaran masa depan serta membolehkan Pelabuhan Pulau Pinang menawarkan perkhidmatan bertaraf dunia yang memenuhi piawaian antarabangsa kepada rakan dagang global.

 

“Pelabuhan Pulau Pinang akan terus memacu inovasi dan meningkatkan standard keselamatan serta kecekapan operasi di salah satu pintu masuk perdagangan maritim utama negara.

 

“Ini juga merupakan antara pencapaian paling signifikan sepanjang tempoh saya menerajui PPC dalam usaha menjadikan Pelabuhan Pulau Pinang sebagai sebuah pelabuhan pintar,” katanya.

 

Selain menyokong operasi pelabuhan sedia ada, VTMS juga dijangka memainkan peranan penting dalam pembangunan infrastruktur masa hadapan termasuk projek Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang yang dicadangkan menghubungkan KOMTAR dan Penang Sentral.

 

Menurut Soon Hin, sistem itu akan membantu memastikan pergerakan kapal di Selat Pulau Pinang dapat dikendalikan dengan selamat apabila projek infrastruktur baharu tersebut dilaksanakan kelak.

 

Pelaksanaan VTMS sejajar dengan agenda kerajaan untuk memodenkan dan mendigitalkan pelabuhan negara, di samping memperkukuh ekosistem logistik serta pengangkutan Malaysia bagi menyokong pertumbuhan perdagangan dan pelaburan jangka panjang. - DagangNews.com