Untung bersih Scientex meningkat 14.8% disokong prestasi kukuh segmen pembungkusan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih Scientex meningkat 14.8% disokong prestasi kukuh segmen pembungkusan

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 10 Jun – Scientex Bhd mencatatkan peningkatan keuntungan bersih bagi suku tahun ketiga berakhir 30 April 2026 disokong oleh prestasi lebih kukuh dalam segmen pembungkusan.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, ia berkata keuntungan bersih kumpulan meningkat 14.8 peratus kepada RM142.17 juta berbanding RM123.87 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya.

 

“Pendapatan turut naik sedikit kepada RM1.12 bilion daripada RM1.11 bilion, dipacu oleh prestasi lebih baik dalam bahagian pembungkusan.

 

“Segmen pembungkusan menjadi penyumbang utama apabila keuntungan operasi Kumpulan melonjak kepada RM73.2 juta berbanding RM34.5 juta setahun lalu.

 

“Peningkatan itu disokong oleh margin lebih baik, keadaan pasaran yang lebih menguntungkan serta pengoptimuman campuran produk,” katanya dalam makluman tersebut.

 

Pendapatan segmen pembungkusan turut meningkat kepada RM630 juta berbanding RM614.8 juta sebelum ini.

 

Dalam pada itu, Scientex memaklumkan pendapatan segmen hartanah susut kepada RM487.80 juta daripada RM495.8 juta manakala keuntungan operasi menurun kepada RM129.5 juta berbanding RM143 juta sebelumnya.

 

“Penurunan tersebut berlaku kerana perbezaan masa pelancaran projek baharu berbanding tempoh sebelumnya yang menyebabkan pengiktirafan jualan dan pendapatan direkod pada kadar lebih perlahan pada suku ini,” katanya.

 

Bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan 2026, keuntungan bersih kumpulan meningkat 11.64 peratus kepada RM420.26 juta, manakala pendapatan naik kepada RM3.41 bilion.

 

Syarikat turut mengumumkan dividen interim satu peringkat sebanyak enam sen sesaham yang akan dibayar pada 17 Julai.

 

Dalam perkembangan hartanah, Scientex Bhd berkata segmen itu kekal kukuh dalam pasaran rumah mampu milik dengan sokongan permintaan stabil dan pelaksanaan projek aktif.

 

Antara projek pembangunan baharu yang dirancang termasuk Scientex Melaka di Cheng, Scientex SP Astana di Sungai Petani, Kedah serta Scientex Bestari Jaya di Selangor. - DagangNews.com