PETRONAS, JERA meterai perjanjian bekalan LNG selama 20 tahun mulai 2028 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PETRONAS, JERA meterai perjanjian bekalan LNG selama 20 tahun mulai 2028

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 10 Jun - Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) memeterai perjanjian bekalan gas asli cecair (LNG) jangka panjang baharu dengan syarikat utiliti tenaga terbesar Jepun, JERA Co Inc., yang akan berkuat kuasa selama 20 tahun bermula 2028.

 

Di bawah perjanjian tersebut, PETRONAS menerusi anak syarikat milik penuhnya, PETRONAS LNG Ltd (PLL), akan membekalkan sehingga 2 juta tan metrik setahun (MTPA) LNG kepada JERA, sekali gus melanjutkan hubungan kerjasama tenaga yang telah terjalin antara kedua-dua pihak selama lebih empat dekad.

 

PETRONAS berkata, perjanjian itu memperkukuhkan hubungan yang bermula sejak tahun 1983 apabila Malaysia menghantar kargo LNG pertamanya ke Jepun, yang kemudiannya berkembang menjadi salah satu kerjasama tenaga paling penting bagi menjamin keselamatan bekalan tenaga negara tersebut.

 

Menurut syarikat itu, perjanjian baharu tersebut turut mencerminkan evolusi model perdagangan LNG global apabila ia beralih daripada kontrak tradisional berasaskan penghantaran tetap kepada struktur bekalan yang lebih fleksibel dan responsif terhadap keperluan pelanggan.

 

"Perjanjian ini bukan sahaja mengukuhkan hubungan jangka panjang dengan JERA, malah memperluaskan keupayaan PETRONAS dalam menawarkan penyelesaian bekalan LNG yang lebih dinamik kepada pasaran global," katanya dalam satu kenyataan.

 

Sebagai sebahagian daripada perjanjian itu, penghantaran LNG akan dilaksanakan menggunakan generasi baharu kapal pengangkut LNG PETRONAS berkapasiti 174,000 meter padu, yang direka bagi memenuhi piawaian pelepasan karbon terkini yang ditetapkan oleh Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO).

 

Penggunaan kapal baharu tersebut dijangka meningkatkan kecekapan operasi dan mengurangkan pelepasan karbon, sejajar dengan komitmen industri tenaga global terhadap agenda kemampanan.

 

PETRONAS berkata, syarikat itu terus menyesuaikan strategi komersialnya bagi memenuhi keperluan tenaga Jepun yang semakin berubah, selaras dengan Pelan Tenaga Strategik Ketujuh negara itu yang memberi penekanan kepada keseimbangan antara keselamatan tenaga, kecekapan ekonomi dan kelestarian alam sekitar.

 

Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaan Gas dan Maritim PETRONAS, Datuk Adif Zulkifli, berkata perjanjian tersebut dibina atas asas hubungan kukuh yang telah lama terjalin antara kedua-dua syarikat.

 

"Kami menghargai kerjasama erat yang dibina bersama JERA selama beberapa dekad, yang berteraskan kepercayaan serta komitmen bersama terhadap kebolehpercayaan bekalan tenaga.

 

"Kami berharap dapat terus memperkukuh hubungan ini sambil menyokong keperluan tenaga Jepun yang terus berkembang pada masa hadapan," katanya.

 

Perjanjian berkenaan dimeterai ketika pasaran LNG global berdepan peningkatan permintaan, ketidaktentuan harga serta kebimbangan berhubung keselamatan bekalan susulan perubahan landskap tenaga dunia.

 

Langkah itu turut mengukuhkan lagi kehadiran PETRONAS dalam Jepun, yang kekal sebagai antara pasaran gas asli terbesar di Asia, selain memastikan syarikat tersebut terus memainkan peranan penting dalam memenuhi keperluan keselamatan tenaga pelanggan menerusi portfolio LNG globalnya. - DagangNews.com